JTK berjaya kurangkan 83 peratus tunggakan laporan tatakelola - KSN

Shamsul Azri mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Tatakelola Peringkat Nasional di Putrajaya, 25 Nov 2025. - Gambar SPRM
PUTRAJAYA: Pemantauan berkala Jawatankuasa Tatakelola Peringkat Nasional (JTK) terhadap penyelesaian Laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (LSPRM) membuahkan hasil apabila tunggakan laporan pada 2023 dan ke bawah berjaya dikurangkan sebanyak 83 peratus daripada 540 kes yang dilaporkan sebelum ini.
Ringkasan AI
- Tunggakan laporan LSPRM pada 2023 dan ke bawah berjaya dikurangkan sebanyak 83 peratus daripada 540 kes yang dilaporkan sebelum ini, hasil pemantauan JTK.
- Pelaksanaan DEEP turut menyumbang kepada kejayaan penyelesaian LSPRM, menjadikannya kriteria penilaian prestasi kementerian, jabatan, dan agensi.
- Ketua Setiausaha Negara mencadangkan supaya pasukan khas khusus di bawah SPRM dibentuk bagi memperkukuh kawalan terhadap pengimportan sisa plastik ke negara.
Shamsul Azri berkata pencapaian itu turut disumbangkan oleh pelaksanaan Demerit Performance Evaluation atau Sistem Penilaian Prestasi Demerit (DEEP) yang menjadikan penyelesaian LSPRM sebagai satu daripada kriteria dalam menilai prestasi kementerian, jabatan dan agensi.
"Usaha penambahbaikan perlu dilaksanakan secara konsisten, termasuk cadangan agar kementerian atau agensi yang gagal melaksanakan penambahbaikan tadbir urus selepas melepasi tempoh 12 bulan dikenakan demerit tambahan sebagai langkah memastikan tindakan segera diambil," katanya.
Shamsul Azri turut mengesyorkan supaya SPRM mengetuai satu pasukan khas khusus bagi memperkukuh kawalan terhadap pengimportan sisa plastik ke dalam negara yang akan turut dianggotai oleh pelbagai kementerian dan agensi.
"Hal ini selaras dengan usaha meningkatkan integriti serta pematuhan peraturan berkaitan pengurusan sisa," katanya.
Sementara itu, Shamsul Azri berkata Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) akan disambut pada 5 Dis ini dengan tema "Bersama Perkhidmatan Awam MADANI Memerangi Rasuah: Membentuk Integriti Masa Hadapan".
"Sambutan HARA tahun ini dijangka menghimpunkan lebih 2,000 peserta dan akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC)," katanya.
Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dan Ketua Audit Negara Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


