KUALA LUMPUR: Sebanyak 45 majikan telah didakwa di mahkamah dan dijatuhkan hukuman denda melibatkan jumlah RM332,000 kerana melanggar Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 pindaan 2019 (Akta 466) setakat ini.

Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Semenanjung Malaysia berkata jumlah tersebut ialah sebahagian daripada kertas siatasan melibatkan 125 majikan yang telah mendapat Izin Dakwa."Kertas siasatan yang melibatkan sebanyak 244 majikan pula telah mendapat Izin Kompaun dengan jumlah tawaran kompaun sebanyak RM1,806,500," kata jabatan itu dalam kenyataan hari ini.

JTK berkata kebanyakan pelanggaran ialah di bawah Seksyen 24D kerana menempatkan pekerja di dalam penginapan tanpa perakuan daripada Ketua Pengarah JTK, selain kesalahan menyediakan penginapan pekerja tidak mengikut kehendak minimum atau tidak menyediakan kemudahan asas yang tidak boleh dikongsi antara pekerja.

Sementara itu, sejak 1 Feb hingga semalam JTK telah melakukan pemeriksaan ke atas 18,749 majikan dan sejumlah 105,951 penginapan pekerja telah diperiksa, dan daripada jumlah itu didapati hanya 6,386 atau 34.06 peratus majikan didapati patuh manakala 12,363 atau 65.94 peratus tidak patuh.

JTK berkata sebanyak 3,057 majikan diberikan amaran membaiki atau menambah baik kediaman pekerja mereka manakala 8,531 majikan diberikan amaran.

Akta 466 dikuatkuasakan pada Jun 2020, namun majikan diberi kelonggaran hingga 1 Sept 2020.

-- BERNAMA