JTKSM buka 490 kertas siasatan, keluar kompaun bernilai RM2.87 juta

Abdul Rahman berkata kementeriannya mengambil serius berhubung kesalahan membabitkan majikan yang gagal mencarum. - Gambar fail Astro AWANI/Shahir Omar
KLANG: Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) mengeluarkan sebanyak 501 kompaun bernilai RM2.87 juta melibatkan 490 kertas siasatan yang dibuka atas pelbagai kesalahan sejak Januari lepas.
Ringkasan AI
- JTKSM mengeluarkan 501 kompaun bernilai RM2.87 juta melibatkan 490 kesalahan sejak Januari lepas.
- Sebanyak 353 kes telah mendapat izin mendakwa dengan denda keseluruhan RM138,000.
- Ops Kurier menumpukan sektor penghantaran dan logistik untuk membanteras ketidakpatuhan undang-undang pekerjaan.
"Antara kesalahan yang banyak dilakukan termasuklah kegagalan mencarum di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) serta pelanggaran perintah gaji minimum," katanya pada sidang media selepas menyertai operasi bersepadu Ops Kurier di kawasan Perindustrian Pulau Indah, di sini hari ini.
Operasi selama hampir dua jam itu turut disertai Ketua Pengarah JTKSM Kamal Pardi, KWSP, PERKESO, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Abdul Rahman berkata kementeriannya mengambil serius berhubung kesalahan membabitkan majikan yang gagal mencarum kerana kegagalan itu memberikan kesan langsung terhadap perlindungan sosial pekerja, terutamanya jika berlaku kemalangan atau kematian.
"Terdapat kes pekerja yang sudah berkhidmat lebih setahun, tetapi masih tidak dicarum KWSP dan PERKESO. Perkara ini tidak boleh diterima kerana caruman itu ialah hak pekerja," katanya.
Berhubung operasi terbabit, beliau berkata Ops Kurier menumpukan sektor penghantaran dan logistik yang dikenal pasti berisiko tinggi terhadap ketidakpatuhan undang-undang pekerjaan, khususnya membabitkan vendor dan subkontraktor.
Katanya, berdasarkan pemeriksaan, masih terdapat majikan yang gagal membayar gaji kepada pekerja yang bekerja separuh hari, malah ada kes pekerja yang bekerja selama empat jam tidak dibayar upah, dan menegaskan bahawa tindakan itu satu bentuk penindasan yang tidak boleh diterima.
Abdul Rahman berkata pihaknya memberikan tempoh antara satu hingga dua minggu kepada majikan untuk mengemukakan bukti pematuhan, termasuk penyata gaji dan bukti caruman KWSP serta PERKESO atau sedia berdepan dengan tindakan undang-undang.
"Kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana majikan yang melanggar undang-undang termasuk mengenakan tindakan tegas seperti pendakwaan di mahkamah sekiranya gagal mengemukakan bukti yang diperintahkan," katanya.
Sementara itu, Abdul Rahman turut mengingatkan majikan bahawa pelaksanaan Perintah Gaji Minimum 2024, yang diwartakan pada 4 Dis tahun lepas yang menetapkan gaji minimum RM1,700 di seluruh negara, perlu dipatuhi sepenuhnya.
"Bagi syarikat yang mempunyai lebih daripada lima pekerja, pelaksanaan telah bermula pada Februari lepas, manakala majikan dengan kurang lima pekerja pelaksanaannya telah dikuatkuasakan pada Ogos," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


