Pesara rugi RM88,000 ditipu 'phone scam'

Suspek mendakwa warga emas itu, yang berasal dari Manir, terlibat dalam aktiviti penggubahan wang haram.
KUALA TERENGGANU: Wang Tabung Haji milik seorang pesara kerajaan dan simpanan isterinya keseluruhan berjumlah RM88,000 lesap selepas diperdaya sindiket 'phone scam'.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata pada 2 Dis lepas, mangsa lelaki berusia 75 tahun itu dihubungi suspek yang menyamar sebagai pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Selangor.
Beliau berkata suspek mendakwa warga emas itu, yang berasal dari Manir di sini, terlibat dalam aktiviti penggubahan wang haram, sebelum panggilannya disambungkan kepada rakan suspek yang menyamar sebagai pendakwa raya.
"Suspek meminta mangsa membayar sejumlah wang bagi menyelesaikan kes tersebut untuk mengelak ditangkap.
"Mangsa yang panik telah membuat beberapa kali transaksi berjumlah RM88,000 ke nombor akaun berbeza dari 4 Dis hingga Khamis lepas, menggunakan wang Tabung Haji dan simpanan milik isterinya," katanya dalam kenyataan hari ini.
Azli berkata untuk mengelak dikesan, suspek juga mengarahkan mangsa supaya mengoyak resit bank kononnya atas faktor keselamatan.
Mangsa hanya menceritakan kejadian itu kepada isterinya selepas membuat pembayaran terakhir.
"Isteri mangsa yang menyedari ditipu menasihatkan suaminya membuat laporan polis pada 9.01 malam tadi kerana bimbang akan keselamatan diri.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


