PUTRAJAYA: "Jumaat yang hitam kepada syariah dan undang-undang Islam".

Demikian komen Datuk Seri Takiyuddin Hassan susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada Jumaat yang memutuskan 16 kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 adalah batal dan tidak sah.

Setiausaha Agung Pas itu berkata, beliau sedih dengan perkembangan terbaharu itu dan memberi amaran perkara sama mungkin berlaku kepada enakmen syariah negeri lain kelak.

“Kita amat sedih hari ini... Jumaat yang hitam kepada syariah Islam, kepada undang-undang Islam. Itu yang boleh kita gambarkan.

“Saya sebagai peguam, kita tahulah… bila undang-undang jenayah syariah satu negeri dibatalkan, bermakna undang- jenayah syariah Islam di negeri lain... 14 buah negeri lain berada dalam keadaan berbahaya dan kritikal.

“Mana-mana orang... katakanlah di Negeri Sembilan ke, di Melaka ke, dituduh kesalahan... contohnya liwat, dia akan bawa kes ini ke mahkamah ini dan beritahu kes di Kelantan kesalahan yang sama dibatalkan,” katanya ketika ditemui di hadapan Mahkamah Persekutuan di sini, hari ini.

BACA: Mahkamah Persekutuan putuskan 16 kesalahan Kanun Jenayah Syariah Kelantan batal, tidak sah

Tambah beliau, pihaknya amat beremosi dan membangkang petisyen tersebut kerana menganggap ia bukan perkara kecil.

Tegasnya, mempertahankan syariah juga bermakna mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu kerana undang-undang itu mendapat perkenan Sultan sebelum dilaksanakan.

Dalam perkembangan sama, Ahli Parlimen Kota Bharu itu menjangkakan ramai ahli Parlimen  akan mengemukakan soalan berhubung keputusan tersebut dalam sesi Dewan Rakyat akan datang.

“Saya difahamkan ramai ahli kita telah mengemukakan soalan (bertulis) berkaitan dengan cabaran terhadap undang-undang syariah yang ada di negeri

“... dan kita tahu bahawa di peringkat Persekutuan ini ada satu jawatan kuasa dipanggil Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang dipengerusikan Sultan Selangor

“Jadi, kita juga akan bertanya di Parlimen apa hasil daripada jawatankuasa MKI ini... apa yang dah buat untuk melindungi kedudukan undang undang syariah atau mungkin ada usaha untuk berjumpa Yang di-Pertuan Agong atau pengerusi MKI sendiri,” katanya.

Astro AWANI pada Jumaat melaporkan, Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel sembilan anggota membenarkan permohonan dua wanita Islam bagi mencabar isu Perlembagaan untuk membatalkan 18 peruntukan kesalahan di bawah enakmen tersebut.

Dalam penghakiman berkeputusan 8-1 itu, Tengku Maimun berkata Seksyen 11, 14, 16, 17, 31, 34 , 36, 39, 40, 41, 42, 43, 44, 45, 47, 48 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 adalah batal dan tidak sah.

Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abdul Rahman Sebli pula membuat keputusan bertentangan.

Turut bersidang Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, Hakim Besar Malaya Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd Diah serta Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais.