DUNGUN: Jumlah kerugian akibat bencana banjir di seluruh negara pada musim tengkujuh atau monsun timur laut kali ini dianggarkan hampir RM1 bilion, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata ketika ini, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) masih menilai jumlah sebenar kerosakan yang dialami akibat bencana itu.

"Secara kasar, kita menganggarkan kerosakan keseluruhan mungkin hampir RM1 bilion," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Santunan Kasih Ramadan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Masjid Sultan Mahmud di Bandar Al Muktafi Billah Shah di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang serta Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) Datuk Seri Ahmad Said.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata jumlah kerugian termasuk kerosakan infrastruktur seperti jalan persekutuan yang sedang dibaiki oleh Jabatan Kerja Raya dan jalan di luar bandar oleh KKDW.

Beliau berkata bantuan membaiki rumah yang terjejas dan pengagihan bantuan kepada mangsa banjir juga telah disalurkan oleh NADMA kepada pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat negeri serta daerah.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid menzahirkan kekecewaan kerana berlaku pengagihan bantuan yang tidak sama rata di beberapa negeri tertentu pada musim banjir tahun lepas.

Beliau mendakwa situasi itu berlaku disebabkan perbezaan 'warna' politik sehingga menyaksikan individu yang layak dan sepatutnya menerima bantuan tidak disenaraikan.

"Saya fikir ini sesuatu yang harus dielakkan. Kita mahu wujudkan kesamarataan dan keadilan kepada semua mangsa tetapi ia tidak berlaku di beberapa negeri tertentu," katanya.

Ahmad Zahid juga berkata semasa kempen pilihan raya, kerajaan negeri terbabit telah berjanji untuk tidak memilih 'warna' politik apabila menyalurkan bantuan bencana kepada rakyat namun melakukan perkara sebaliknya selepas menang.

-- BERNAMA