IPOH: Jumlah kumulatif demam denggi di Perak meningkat sebanyak 2,762 kes sepanjang sembilan bulan pertama tahun ini berbanding 851 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional negeri A. Sivanesan berkata peningkatan sebanyak 1,911 kes atau 224.6 peratus direkodkan sepanjang tempoh tersebut.

Beliau berkata sepanjang tempoh tersebut, satu kematian direkodkan di Kuala Kangsar berbanding tiada kematian berlaku pada tempoh yang sama tahun lalu.

"Sebanyak 75 kes demam denggi dicatatkan pada Minggu Epidemiologi (ME) 39 tahun ini berbanding hanya 24 kes direkodkan pada tahun lalu.

"Antara kawasan yang mencatatkan kes demam denggi paling tinggi ialah di Kampung Tersusun Batu 5 di daerah Kinta iaitu 23 kes serta 10 kes direkodkan di Blok A (Zon 1) Pengkalan Tentera Laut Diraja Malaysia di daerah Manjung," katanya pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Sementara itu, Sivanesan berkata lima kawasan di negeri ini merekodkanIndeks Pencemaran Udara (IPU) sederhana iaitu Taiping (61), Tasek (65), Pegoh (59), Seri Manjung (60) dan Tanjung Malim (78), setakat pukul 2 petang ini.

Sivanesan turut meminta pihak pengurusan sekolah agar tidak melakukan sebarang aktiviti di luar bilik darjah pada sebelah petang bagi mengelakkan pelajar mengalami masalah kesihatan seperti batuk, selesema, asma atau sakit mata.

"Bagaimanapun, setakat ini tiada kes di Perak melibatkan individu yang mengalami masalah kesihatan disebabkan jerebu," katanya.

-- BERNAMA