KUALA LUMPUR:Jumlah mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu masing-masing masih kekal setakat pukul 5 petang ini.

Di KELANTAN jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Pasir Mas, di Sekolah Kebangsaan Tok Deh kekal 37 orang terdiri daripada lapan keluarga termasuk seorang bayi lelaki dan seorang bayi perempuan.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Jajahan Pasir Mas Azizan Aziz ketika dihubungi Bernama berkata mangsa masih ditempatkan di PPS berikutan keadaan banjir belum pulih memandangkan kawasan rumah mereka berada di tempat yang rendah selain air banjir surut dengan perlahan.

Sementara itu, menurut laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di http://publicinfobanjir.water.gov.my setakat 5 petang ini, paras air Sungai Golok di Rantau Panjang mencatatkan bacaan 8.53 meter iaitu melepasi tahap amaran (8 meter), namun menunjukkan trend menurun.

Sementara, Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat mencatatkan bacaan melepasi paras amaran iaitu 2.16 m (amaran 2.15) dengan trend menaik. Cuaca di seluruh Kelantan cerah pada petang ini.

Di TERENGGANU, jumlah mangsa banjir kekal sembilan orang daripada empat keluarga setakat 5 petang ini yang ditempatklan di SMK Merchang di Marang.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata kesemua mangsa masih tidak dibenarkan pulang ke rumah kerana faktor banjir termenung.

"Sukar dipastikan bila air akan surut sepenuhnya di kawasan itu kerana ketika gelombang kedua, tempoh antara empat hari hingga seminggu baru keadaan kembali seperti biasa " katanya.

Untuk rekod, banjir gelombang pertama di Terengganu bermula dari 17 Nov hingga 19 Nov lepas manakala gelombang kedua dari 23 Nov hingga 2 Dis.

Gelombang ketiga banjir pula bermula pada lewat malam 2 Dis hingga sekarang.

-- BERNAMA