MELAKA: Angka mangsa banjir di Melaka terus meningkat kepada 382 mangsa daripada 100 buah keluarga berbanding hanya 96 mangsa pada sebelah pagi tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Left Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata setakat ini empat pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka.

Beliau berkata, empat PPS itu melibatkan penduduk dari lapan kawasan kediaman di sekitar daerah Alor Gajah.

Jelasnya, Sekolah Rendah Agama (SRA) Jelatang merekodkan jumlah penduduk terjejas teramai iaitu 182 mangsa membabitkan 47 keluarga manakala Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pengkalan menempatkan 161 mangsa.

BACA LAPOR LANGSUNG BERHUBUNG BENCANA BANJIR 2021 DI SINI

Balai Raya Kampung Gadek dan Surau Kampung Jeram yang mana masing-masing menempatkan 33 dan enam mangsa juga baru dibuka pada sebelah tengah hari ini.

Mengulas lanjut ujarnya, beberapa PPS lagi dijangka akan menerima mangsa banjir di sekitar kawasan Lubok China, Masjid Tanah yang paling teruk terjejas dalam kejadian banjir dua minggu lalu.

Dalam pada itu, tinjauan Astro Awani turut mendapati beberapa jalan utama di sekitar daerah Alor Gajah juga telah ditutup selepas berlaku limpahan air sungai selain beberapa kawasan masih menerima taburan hujan yang tinggi.

Situasi itu menyebabkan berlaku kesesakan di jalan utama termasuk di lebuh Alor Gajah - Melaka - Jasin (AMJ).

Setakat ini tiada mangsa yang terjejas di daerah Melaka Tengah dan Jasin.