Jumlah mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan di Melaka menurun kepada 107 orang setakat pukul 9 pagi ini.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Melaka berkata penurunan itu, susulan penutupan pusat penempatan mangsa banjir di Kampung Belimbing Dalam di daerah Alor Gajah yang menempatkan lapan orang sekeluarga semalam.

"Bagi daerah Jasin, seramai 97 orang mangsa dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan Tehel manakala 3 mangsa dipindahkan ke Balai raya Kesang Barat," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Bagi daerah Melaka Tengah, hanya satu keluarga seramai 7 orang masih ditempatkan di Bilik Gerakan Barisan Nasional Ayer Molek.

"Orang ramai perlu segera berpindah jika diminta berbuat demikian oleh pihak keselamatan dan diminta berjaga-jaga kerana hujan masih berterusan," katanya.