Jurang pembangunan bandar–pedalaman, masalah kemudahan asas jejas kemajuan Sabah

Dr Izaan menekankan Sabah perlu memberi tumpuan utama kepada penyelesaian tiga isu asas iaitu jalan raya, elektrik dan air, yang disifatkan sebagai kegagalan fundamental dalam pembangunan negeri.
KUALA LUMPUR: Walaupun Sabah merupakan negeri kedua terbesar dan kaya dengan sumber asli, majoriti rakyatnya masih belum merasai limpahan kekayaan tersebut.
Menurut Felo Penyelidik Pusat Pembangunan Ekonomi dan Dasar UMS, Dr Izaan Jamil, data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan lebih separuh daerah di Sabah memiliki pendapatan isi rumah di bawah median negara, dengan hampir semuanya terletak di kawasan pedalaman.
“Jika dibandingkan dengan Kota Kinabalu, jurang pendapatan dan akses kepada sekolah, hospital dan klinik sangat ketara.
“Pembangunan terlalu tertumpu di kawasan bandar, menyebabkan penduduk pedalaman ketinggalan jauh dari segi peluang ekonomi," katanya ketika muncul dalam program Dialog Poket Rakyat, pada Jumaat.
Jelas Dr Izaan, infrastruktur yang daif meningkatkan kos pembangunan dan mengurangkan minat pelabur untuk masuk ke kawasan pedalaman.
Beliau juga menolak naratif bahawa kemunduran Sabah berpunca daripada isu royalti minyak semata-mata, sebaliknya menegaskan faktor pentadbiran turut menjadi punca utama.
“Pembangunan Sabah mula tersasar ketika sistem penggiliran Ketua Menteri dilaksanakan dari 1994 hingga 2003. Pelantikan setiap dua tahun menyebabkan banyak dasar dan projek jangka panjang terbantut,” katanya.
Di samping itu, Dr Izaan menekankan Sabah perlu memberi tumpuan utama kepada penyelesaian tiga isu asas iaitu jalan raya, elektrik dan air, yang disifatkan sebagai kegagalan fundamental dalam pembangunan negeri.
“Kita tidak dapat membangunkan banyak kawasan pertanian kerana bekalan air tidak mencukupi.
“Siapa pun kerajaan selepas ini, mereka perlu menumpukan sepenuhnya kepada penyelesaian masalah asas ini. Infrastruktur mesti datang dulu, barulah pelabur akan masuk,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan Sabah tidak boleh terus bergantung kepada hasil minyak sebagai sumber pendapatan utama. Inisiatif membina beberapa taman perindustrian baharu, termasuk di Kota Belud dan Kudat, disifatkan sebagai langkah positif untuk merancakkan ekonomi luar bandar.
“Taman industri ini boleh menjadi pemangkin ekonomi luar bandar. Ia mampu membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan memberikan limpahan positif kepada penduduk sekitar,” katanya.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

