Skip to main content

Malaysia

Juruelektrik rugi RM150,000 ditipu sindiket pelaburan tidak wujud

Scam_BERNAMA
Suspek menawarkan mamngsa pakej pelaburan lebih besar iaitu modal sebanyak RM100,000 dengan bonus keuntungan kira-kira RM70,000. - Gambar hiasan Bernama
Advertisement

KUALA TERENGGANU: Seorang juruelektrik kerugian RM150,000 selepas diperdaya sindiket pelaburan tidak wujud awal bulan ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Azli Mohd Noor berkata, pada 3 Julai lepas lelaki berusia 48 tahun itu menerima mesej daripada suspek wanita yang menawarkan skim pelaburan melalui aplikasi WhatsApp.

Beliau berkata, suspek memujuk mangsa agar menyertai skim pelaburan tersebut yang didakwa mampu menjana keuntungan besar dalam tempoh singkat.

"Pada awalnya suspek mengarahkan mangsa membuat lima pelaburan awal dan memberi pulangan keuntungan seperti yang dijanjikan. Ia bagi meyakinkan mangsa bahawa skim tersebut adalah sah dan benar-benar mendatangkan keuntungan.

"Suspek kemudiannya menawarkan pakej pelaburan lebih besar iaitu modal sebanyak RM100,000 dengan bonus keuntungan kira-kira RM70,000," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azli berkata, mangsa kemudian telah membuat pelaburan sebanyak RM150,000 melalui empat transaksi ke empat akaun berbeza dari 8 hingga 16 Julai lepas.

Bagaimanapun, setelah bayaran dibuat mangsa bukan sahaja gagal mendapatkan bonus keuntungan yang dijanjikan malah akaun pelaburannya turut dibekukan.

"Suspek meminta mangsa membuat bayaran tambahan bagi membolehkan akaun pelaburannya diaktifkan semula dan wang bonus dikeluarkan.

"Mangsa yang menyedari ditipu telah membuat laporan polis pada 5.07 petang semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement