KUALA LUMPUR: Bayangkan ketika sedang menikmati kesibukan ibu kota, seseorang yang tidak dikenali menghampiri anda lalu menghadiahkan sekeping gambar spontan yang dirakam hanya beberapa minit sebelumnya.
Kejutan kecil itu mungkin cukup untuk membuatkan seseorang mengukir senyuman dan menceriakan hari sesiapa sahaja.
Itulah pendekatan unik jurugambar jalanan Muhammad Amirul Ibrahim, 31, yang sejak hampir dua tahun lalu merakam momen spontan orang ramai sebelum mencetak gambar itu menggunakan pencetak foto mudah alih untuk dihadiahkan kepada individu terbabit di sekitar lokasi tumpuan di ibu kota.
Bermula sebagai hobi selepas meninggalkan kerjaya sebagai penjawat awam, minat terhadap fotografi jalanan bukan sahaja membawanya mengenali pelbagai lapisan masyarakat, malah turut memberi impak kepada kehidupan individu dan membantu memperkenalkan perniagaan kecil kepada orang ramai.
“Saya pernah dimarahi kerana ambil gambar tanpa izin. Kalau mereka tidak selesa, saya akan minta maaf dan memadamkan gambar itu. Bagaimanapun, saya tidak jadikannya sebagai alasan berhenti kerana daripada 10 orang tidak suka, saya memilih mengingati sembilan lagi gembira menerima gambar mereka.
“(Contohnya), seorang peniaga warga emas memeluk saya sambil menangis selepas saya kembali kira-kira dua minggu kemudian ke tempat perniagaannya dan mengucapkan terima kasih kerana jualannya habis setiap hari,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.
Muhammad Amirul berkata beliau tidak menyangka sekeping gambar yang dirakam secara spontan itu mampu membantu memperkenalkan perniagaan lelaki berusia 71 tahun yang menjual karipap menggunakan motosikal di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban arah selatan sehingga menarik perhatian orang ramai.
Pengalaman itu menguatkan tekadnya untuk terus berkarya dalam bidang fotografi jalanan sehingga sanggup berulang-alik dari Alor Gajah, Melaka ke Kuala Lumpur setiap dua minggu bagi merakam lebih banyak kisah dan momen masyarakat.
Setiap potret yang dirakam bukan sekadar menjadi koleksi peribadi, sebaliknya turut dikongsikan di akaun Instagram dan TikTok @amirulozil yang masing-masing mempunyai lebih 40,000 dan 200,000 pengikut, sekali gus membolehkan lebih ramai berkongsi kegembiraan yang tercipta di sebalik setiap keping gambar.
Menceritakan permulaan penglibatannya, pemegang Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik daripada Kolej Universiti Linton itu berkata minat terhadap fotografi jalanan tercetus pada 2024 selepas beliau tertarik dengan kandungan akaun Instagram Happy2Find.
Konsep jurugambar yang merakam potret orang awam secara spontan sebelum menghadiahkan gambar kepada individu berkenaan menarik perhatiannya kerana pendekatan itu belum dipelopori di Malaysia, selain memberinya peluang tampil dengan kelainan.
Dengan sokongan keluarga, beliau tidak membiarkan kekurangan ilmu dalam bidang fotografi menghalang minatnya. Sebaliknya, beliau sanggup mengeluarkan kira-kira RM5,000 daripada simpanan sendiri untuk membeli kamera DSLR, pencetak foto mudah alih serta peralatan lain bagi merealisasikan impiannya.
"Ketika mula-mula melakukan kerja ini, saya takut untuk menegur orang yang tidak dikenali, apatah lagi hendak menyerahkan gambar kepada mereka. Saya seorang yang pemalu, sukar memulakan perbualan dan sering mengambil masa untuk mengumpul keberanian sebelum menghampiri seseorang.
"Namun, selepas hampir dua tahun melakukan fotografi jalanan, saya semakin yakin dan lebih mudah berkomunikasi dengan orang ramai. Secara tidak langsung, kerja ini membantu saya keluar daripada zon selesa dan mengikis sifat pemalu," katanya.
Anak bongsu daripada sembilan beradik itu berharap dapat memperluas pendekatan berkenaan ke lebih banyak lokasi di seluruh negara, malah ke peringkat antarabangsa selepas hampir dua tahun mencipta senyuman menerusi fotografi jalanan.
"Saya mahu membuatkan lebih ramai orang gembira. Walaupun hanya sekeping gambar, kadang-kadang ia sudah cukup untuk membuatkan seseorang tersenyum dan berasa dihargai," katanya.
-- BERNAMA