PUTRAJAYA: Seorang jurukimpal terlepas hukuman gantung selepas Mahkamah Rayuan hari ini meringankan hukuman mati yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi terhadapnya kepada penjara 35 tahun kerana membunuh seorang suri rumah.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Hadhariah Syed Ismail, Datuk See Mee Chun dan Datuk Azmi Ariffin menolak rayuan Lin Siek Hong terhadap sabitan kesalahannya.

Hakim Hadhariah berkata mahkamah mengetepikan hukuman mati dan menggunakan budi bicaranya untuk menggantikan hukuman itu kepada penjara 35 tahun.

Dalam keputusan mahkamah, hakim itu berkata apa yang berlaku bukan kes provokasi dan si mati, Yap Choon Mooi telah ditikam di hatinya yang menunjukkan Lin mempunyai niat untuk membunuh.

Lin juga terlepas daripada dikenakan sebatan kerana berusia 54 tahun.

Lin didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi pada 17 Feb tahun lepas kerana membunuh Yap, 41, di Lorong Tengah di Kampung Terentang, Rawang, Selangor pada 6.45 pagi pada 11 Dis 2018.

Peguamnya Lee Teong Hooi sebelum itu berhujah bahawa anak guamnya diprovokasi oleh si mati dan tidak mempunyai niat untuk membunuh si mati.

Beliau berkata pihak pendakwaan gagal memanggil seorang wanita Cina yang menyaksikan kejadian itu untuk memberi keterangan dalam perbicaraan.

Timbalan Pendakwa Raya Parvin Hameedah Natchiar berhujah bahawa pihak pendakwaan tidak menahan maklumat kerana suami si mati tidak mengenali wanita Cina yang memaklumkan isterinya telah ditikam.

Sementara itu, dalam kes lain, panel Mahkamah Rayuan yang sama memerintahkan seorang lelaki, yang dibebaskan dan dilepaskan daripada tuduhan membunuh adik perempuannya atas alasan tidak waras, membela diri terhadap pertuduhan itu.

Semasa menyampaikan keputusan mahkamah, hakim Hadhariah mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membebas dan melepaskan Lim Poo Teck atas alasan tidak siuman pada akhir kes pendakwaan.

Beliau berkata hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila memerintahkan Lim dibebas dan dilepaskan apabila berpuas hati bahawa semua unsur di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan telah dibuktikan oleh pihak pendakwaan.

Hakim Hadhariah mengarahkan kes itu dibawa kembali ke hadapan hakim Mahkamah Tinggi yang sama untuk Lim membela diri.

Pada 21 Dis 2021, hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azhar Abdul Hamid membebas dan melepaskan Lim terhadap kesalahan itu pada akhir kes pendakwaan. Hakim itu juga memerintahkan Lim dihantar ke Hospital Bahagia di Ulu Kinta, Perak di bawah Seksyen 348 Kanun Tatacara Jenayah.

Lim, 52, didakwa membunuh Poh Ling, 38 tahun ketika kejadian, di sebuah rumah di Jinjang Utara di Sentul, Kuala Lumpur antara 6.30 petang dan 7 malam pada 21 Januari 2020.

Dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Eyu Ghim Siang berhujah bahawa Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila memutuskan untuk tidak memanggil Lim membela diri kerana beliau berkata pakar psikiatri Dr Saramah Isa dari Hospital Bahagia telah memberi keterangan bahawa Lim layak untuk dibicarakan.

Beliau berkata doktor itu telah memberi keterangan bahawa Lim telah menjalani rawatan untuk skizofrenia dan penyakit itu berkurangan, yang bermakna kesihatan mentalnya bertambah baik.

Peguam G.C.Tan berhujah bahawa hakim Mahkamah Tinggi mendapati Lim tidak mempunyai kawalan terhadap keadaan mentalnya apabila kesalahan yang didakwa itu dilakukan.

-- BERNAMA