LANGKAWI: Pertunjukan pasukan aerobatik Black Eagles dari Korea Selatan sememangnya antara yang dinantikan pengunjung di Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA23).

Suasana menjadi gamat sebaik sembilan juruterbang itu memasuki landasan dengan sorakan dan laungan ‘saranghae’ yang bermaksud 'saya sayang awak', seolah-oleh mereka artis K-pop atau pelakon Korea Selatan terkenal.

Ketua pasukan Tentera Udara Republik Korea itu, Mejar Eunho Yang, ketika ditemui berkata, mereka berterima kasih kerana mendapat sokongan yang kuat daripada orang Malaysia.

Katanya, dia bersama rakan menjadi lebih bersemangat dan kagum apabila melihat ramai orang yang bersorak dan menyokong mereka ketika melakukan pertunjukan udara.

"Kami gembira dan berterima kasih mendapat sokongan rakyat Malaysia. Kami berharap akan terus mendapat peluang melakukan pertunjukan udara di Malaysia lagi," katanya.

Katanya, mereka telah melakukan latihan keras mengendali lapan buah pesawat tempur ringan KAI T-50B Golden Eagle dengan melakukan sebanyak 24 formasi berbeza.

Eunho turut menzahirkan keterujaan apabila dapat terbang di ruang udara Langkawi yang mempunyai permandangan dikelilingi laut dan gunung yang cantik.

Menurut juruterbang yang pertama kali menyertai acara berprestij ini, beliau berharap jalinan ketenteraan di antara Malaysia dan Korea Selatan dapat diperkukuhkan lagi pada masa hadapan.

Aksi memukau Black Eagles yang menampilkan formasi utama ‘Taeguk’, iaitu bendera Korea Selatan menerusi penggunaan asap daripada pesawat terbabit, menjadi antara yang ditunggu-tunggu orang ramai sempena LIMA’23.

Penampilan sulung pasukan aerobatik"Black Eagles" Republic Of Korean Air Force (ROKAF) adalah pada 2017 menerusi penyertaan lapan pesawat latihan T-50B Golden Eagle yang dibangunkan KAI.