REMBAU: Susulan kes penderaan melibatkan seorang remaja kurang upaya (OKU) dikenali sebagai Bella yang mendapat perhatian umum baru-baru ini, 11 lagi penghuni di pusat jagaan di ibu kota itu, berjaya diselamatkan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, kesemua penghuni itu diselamatkan menerusi operasi yang dijalankan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersama sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Khamis lalu.

Beliau berkata, enam daripada kanak-kanak itu kini  ditempatkan di institusi di bawah JKM manakala lima lagi termasuk yang berusia 18 tahun dikembalikan kepada keluarga atau saudara masing-masing dalam keadaan selamat.

Katanya, bagi kanak-kanak yang ditempatkan di bawah JKM, perintah penjagaan sementara selama tiga bulan telah diperoleh dan selepas tempoh itu, tindakan yang diambil akan bergantung kepada situasi semasa.

“Pada 15 Julai, hasil aduan awam JKM bersama bahagian D11 PDRM telah sekali lagi menjalankan operasi menyelamat ke atas 11 orang kanak-kanak yang masih lagi berada di bawah jagaan pengusaha pusat penjagaan kanak-kanak itu. Seramai enam orang telah ditempatkan di institusi pentadbiran JKM dan lima lagi telah dikembalikan kepada keluarga,” katanya.

BACA: #JusticeForBella: Mengharap sinar pembelaan Bella, dan memburu sang durjana!

BACA: 'Pernah lihat Bella dipukul dengan penyangkut baju' - Saksi dakwa nampak kejadian di rumah perlindungan

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kepada anak-anak bekas penghuni sebuah pusat jagaan di Kuala Lumpur di Rumah Kanak-Kanak Rembau, di sini pada Sabtu.

Mengulas lanjut ujarnya, beliau menggesa pihak polis untuk menyegerakan siasatan berhubung kes penderaan membabitkan remaja perempuan berkenaan.

Katanya, pelaku yang didapati terlibat dengan kes penderaan itu perlu diheret ke muka pengadilan dan dikenakan hukuman yang tegas dan setimpal.

Sebelum ini Astro AWANI memaparkan kes remaja Sindrom Down itu dipercayai akibat didera pada Jun lalu sewaktu ditemui di sebuah kondominium di Wangsa Maju.