JOHOR BAHRU: Pelaksanaan Johor Vaksin-Immunisation Programme (JVIP) hanya ditawarkan kepada barisan hadapan ekonomi bertujuan mempercepatkan proses imuniti kelompok dengan meningkatkan pengambilan vaksin COVID-19 terutama dalam kalangan pekerja industri.

Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad berkata terdapat salah faham dalam kalangan masyarakat terhadap program itu yang diperkenalkan pada Jumaat bahawa individu yang ingin mendapatkan suntikan vaksin segera akan dikenakan bayaran.

"Johor merupakan negeri industri dan (inisiatif ini) amat penting untuk kita turut menyuntik pekerja industri termasuk warga asing kerana kita memahami keperluan syarikat multinasional agar mereka dapat terus beroperasi dalam tempoh pandemik ini.

"Oleh itu, kerajaan negeri menjalin kerjasama dengan beberapa pihak termasuk KPJ Healthcare dan Pharmaniaga bagi memulakan program vaksin berbayar, bukan melalui program vaksin awam," katanya ketika berucap merasmikan Pembukaan Persidangan Virtual Dewan Muda Johor 2021 yang diadakan secara maya, pada Sabtu.

Hasni berkata mana-mana syarikat atau pekerja industri sama ada daripada kategori keperluan atau bukan keperluan yang mahu menyegerakan suntikan vaksinasi terhadap pekerja mereka boleh berbuat demikian menerusi JVIP.

"Justeru, saya berharap agar masyarakat di luar sana tidak terkeliru dengan program ini seolah-olah kerajaan meminta mereka membayar untuk mendapatkan suntikan vaksin," katanya.

Sementara itu, Hasni berkata Johor masih berada dalam kategori Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara berikutan beberapa faktor antaranya jumlah kes harian yang masih melebihi 400 kes dan penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) melebihi 70 peratus.

"Daripada faktor suntikan (vaksin), Johor telah melepasi syarat untuk memasuki Fasa 2 iaitu perlu melebihi 17 peratus penduduk dewasa telah lengkap menerima suntikan vaksin mereka.

"Namun begitu kerajaan negeri komited untuk memastikan kita berada di landasan terbaik untuk memulihkan semula sektor ekonomi demi kesejahteraan rakyat," katanya.

-- BERNAMA