KOTA BHARU: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) akan mengangkat industri kreatif kepada satu kedudukan yang lebih baik bagi membolehkan industri tersebut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, kata Menterinya Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata bagi tujuan tersebut, kerajaan telah menubuhkan agensi MyCreative Ventures untuk mentransformasi kegiatan seni kraf dan kreatif agar kegiatan industri itu boleh menjana pendapatan, menjadi satu industri yang boleh dipasarkan dalam dan luar negara.

"Sebagai cabang ketiga dalam tugasan K-KOMM selain telekomunikasi dan komunikasi serta penyiaran, menjadi tanggungjawab kementerian untuk kita angkat industri kreatif kepada satu kedudukan yang lebih baik yang boleh menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

"Kerajaan juga mahu industri kreatif mewujudkan peluang pekerjaan, menambah pendapatan serta menjadi satu cabang yang akan turut membangunkan dan memulihkan ekonomi negara kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kembara Riuh Keluarga Malaysia (KRKM) edisi keempat di Kelantan 'RIUH SOKMO! Bersama Celcom' di Stadium Mini Majlis Daerah Ketereh, di sini, pada Sabtu.

Mengulas mengenai RIUH, Annuar, yang juga Ahli Parlimen Ketereh, berkata program itu telah diteruskan daripada satu negeri ke negeri lain dengan bertujuan untuk merangsang, membuka kesedaran, mengintai peluang buat pemain industri yang baharu.

"Kita mahu menukar kegiatan bersifat hobi atau kesenian semata-mata untuk menjadikan satu industri, satu perusahaan dan sesuatu yang boleh menambah pendapatan kepada mereka yang terlibat dalam industri kreatif.

"RIUH bukan diadakan semata-mata kerana mahu mengadakan pesta sahaja. Ia mesti berupa satu gerakan, suatu usaha agar rakyat yang memilik kemahiran untuk menceburkan diri dan dirikan kegiatan-kegiatan kreatif agar dapat menambah pendapatan dan menyumbang kepada ekonomi negara," katanya.

RIUH SOKMO! Bersama Celcom' diadakan mulai semalam hingga esok bertujuan untuk memperkasa penggiat, usahawan dan pengamal industri kreatif tempatan di seluruh negara.

Inisiatif itu mencerminkan keprihatinan dan komitmen kerajaan dalam memulihkan industri kreatif susulan pandemik COVID-19 yang menjejaskan pendapatan pengamal industri kreatif ini.

-- BERNAMA