KUALA LUMPUR:Pelantikan Kabinet Darurat Khas dilihat perlu dalam memastikan peranan kementerian terus berfungsi walaupun tidak sepenuhnya dalam sistem yang sepatutnya.

Pensyarah Pengajian Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM, Mujibu Abd Muis berkata, tanggungjawab kementerian boleh ditugaskan kepada jawatankuasa berkenaan, jika berlaku sebarang perlanggaran ataupun ketidakpatuhan di pihak berkenaan.

"Saya rasa perlu kerana ada dua perkara yang penting dalam konteks darurat dilaksanakan, satu tentulah alasan darurat sendiri yang dikatakan disebabkan untuk melawan pandemik COVID-19 dan sebagainya.

"Kedua, bagaimana untuk melihat kementerian dalam konteks darurat ini dipertanggungjawabkan, jadi saya melihat ada pengajaran untuk menubuhkan jawatankuada teknikal yang bersifat keparlimenan tadi.

"Kerana dalam konteks kementerian boleh melakukan perkara-perkara tertentu tanpa ada check and balance daripada Ahli Parlimen, maka ini barangkali boleh memastikan fungsi dan mekanisme itu masih berfungsi walaupun tidak sepenuhnya dalam sistem yang sepatutnya," katanya semasa sidang video pada Selasa.

Mujibu mengulas cadangan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said kepada Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, untuk mempertimbangkan penggantungan tugas-tugas Jemaah Menteri dan digantikan dengan pelantikan Kabinet Darurat Khas, yang terdiri daripada kementerian-kementerian yang relevan.

Beliau berkata, Kabinet tersebut boleh dibenarkan untuk berfungsi dengan kuasa-kuasa yang terhad sehingga darurat dibatalkan.

Dalam pada itu kata Mujibu, mungkin ada kekhuatiran badan eksekutif nanti akan bertindak sewenang-wenangnya selepas Parlimen digantung.

Jelasnya, ia juga mungkin tidak mencukupi kerana beban tanggungjawab jawatankuasa itu dilihat lebih fokus kepada perkara-perkara yang berkaitan dengan COVID-19.

Ujarnya, ia tidak melihat kepada perkara yang sepatutnya iaitu kepertanggungjawapan Kabinet atau Kementerian kepada Parlimen.