MCA dan Gerakan perlu menimbang semula keputusan mereka untuk tidak menganggotai kabinet berikutan prestasi buruk masing-masing pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) yang baru berakhir.

Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan berkata dua parti itu yang mewakili masyarakat Cina masih diperlukan dalam kabinet bagi memantapkan pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Keengganan untuk sertai kabinet dan peletakan jawatan itu bukan satu langkah yang baik pada saat dan ketika BN memerlukan pemantapan dan sokongan daripada semua parti komponen," katanya kepada pemberita selepas melancarkan produk kesihatan 'Unequein', di sini Sabtu.

Ahmad berkata MCA dan Gerakan juga perlu memikirkan langkah untuk menarik kembali sokongan masyarakat Cina dan memperbaiki kelemahan parti.

MCA hari ini tetap dengan pendirian parti itu untuk tidak menerima sebarang jawatan dalam kabinet selepas hanya menang tujuh daripada 37 kerusi parlimen yang ditandingi.

Gerakan juga mengambil ketetapan itu setelah menang satu kerusi parlimen sahaja kali ini berbanding dua pada pilihan raya 2008.

Produk itu diasaskan oleh penyanyi Asmawi Ani atau lebih dikenali Mawi dan isterinya Nora'sikin Rahmat.