MALAYSIA
Perak komited kukuhkan kedudukan sebagai koridor TVET negara

Saarani berkata usaha itu penting bagi memastikan anak Perak bersedia mengisi peluang pekerjaan yang bakal diwujudkan seiring dengan pelaksanaan pelbagai projek mega di negeri itu.
KUALA LUMPUR: Perak komited membangunkan ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang lengkap dan bersepadu bagi mengukuhkan kedudukannya sebagai koridor TVET negara.
Ringkasan AI
- Perak komited menjadikan negeri itu sebagai koridor TVET negara, melalui Pelan Perak Sejahtera 2030 yang menyenaraikan TVET sebagai agenda utama pembangunan.
- Sebanyak 62 daripada kira-kira 100 IPT di Perak menawarkan program kemahiran, merangkumi bidang seperti automotif, teknologi makanan, kejuruteraan dan pertanian moden.
- Kerajaan negeri menubuhkan Majlis TVET Negeri Perak dan memperkasa institusi seperti PUO, bagi membina rantaian nilai lengkap dari latihan hingga penempatan kerja, serta mengelak penghijrahan tenaga muda ke luar negeri.
“Sebab itu bila saya bangunkan Pelan Perak Sejahtera 2030 kita ada sembilan agenda, salah satunya kita sebut Perak sebagai koridor TVET Malaysia.
“Kita ada lebih kurang 100 buah institut pengajian tinggi (IPT) di Perak, 62 daripadanya menyediakan program TVET termasuk kolej komuniti, GiatMara, IKM, KKTM, politeknik dan sebagainya.
“Kerana itu kita boleh dikatakan bekerja keras sekarang ini dari daerah ke daerah untuk kita kempen kesedaran TVET, itu yang kita buat sekarang,” katanya dalam AWANI Pagi baru-baru ini.
Beliau berkata usaha itu penting bagi memastikan anak Perak bersedia mengisi peluang pekerjaan yang bakal diwujudkan seiring dengan pelaksanaan pelbagai projek mega di negeri itu.
“Anak-anak muda Perak mesti dipersiapkan dengan ilmu dan kemahiran TVET seawal mungkin. Saya tidak mahu lagi mendengar anak Perak terpaksa berhijrah keluar semata-mata untuk mencari kerja.
“Ia strategi jangka panjang supaya rakyat negeri ini menjadi pemain utama dalam pembangunan ekonomi negeri,” jelasnya.
Kelebihan itu, katanya, membolehkan kerajaan negeri membina rantaian nilai menyeluruh dari latihan, pensijilan hingga ke peluang pekerjaan.
Sebagai tanda komitmen, kerajaan negeri telah menubuhkan Majlis TVET Negeri Perak bagi menyelaras dasar dan hala tuju pembangunan TVET, dengan Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) sebagai pelaksana utama latihan, bimbingan kerjaya, penempatan pekerjaan dan keusahawanan.
Menurut beliau, antara inisiatif yang dilaksanakan ialah memperkasa institusi sedia ada seperti Politeknik Ungku Omar (PUO) yang menjadi satu daripada lima politeknik perintis melaksanakan program Asasi TVET sejak 2023, membolehkan pelajar cemerlang lepasan SPM memulakan pengajian teknikal lebih awal.
Saarani berkata, di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030, pendekatan TVET di negeri itu tidak dilakukan secara terpencil atau bersifat episodik, sebaliknya melibatkan semua pihak termasuk kerajaan negeri, agensi pusat, syarikat pelabur, institusi latihan kemahiran, GLC dan masyarakat sivil.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami