KUALA LUMPUR: Pembentukan sebuah Kabinet yang mirip 'Kabinet Perang' boleh dilakukan namun ia terlebih dahulu perlu dimulakan dengan pelaksanaan darurat yang komprehensif.

Pensyarah Kanan Hal Ehwal Dasar, Politik Ekonomi dan Pengajian Antarabangsa, Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib berkata, hanya selepas itu barulah Yang di-Pertuan Agong mempunyai pilihan untuk mengadakan 'Kabinet Perang' bagi memfokuskan proses pemulihan negara.

"Saya melihat cadangan Kabinet Perang itu sudah tidak praktikal ketika ini. Yang perlu ialah penubuhan kerajaan yang sah. Ini penting untuk membentuk Kabinet yang akan memandu pengurusan negara.

"Soalnya hari ini jika kerajaan yang sah tidak ditubuhkan, jadi bagaimana pembentangan berkaitan yang memerlukan keabsahan Parlimen nak dilakukan?

"Sebab itu cadangan perlu dibuat berhati-hati. Orang politik, jangan cadangkan sesuatu yang akan membawa tekanan kepada institusi termasuk dalam aspek pentadbiran.

"Apabila Parlimen sudah boleh bersidang, maka keabsahan kerajaan itu perlu dilakukan dalam sidang Parlimen dan kedudukan serta pelantikan Perdana Menteri mesti datang dari Dewan Rakyat. Timbalan Menteri dan Menteri Kanan yang lain boleh dilantik dalam kalangan senator.

"Jadi 'Kabinet Perang' dan Majlis Pemulihan Negara hanya boleh dilaksanakan sekiranya negara mengamalkan darurat yang komprehensif seperti yang termaktub dalam perlembagaan," katanya kepada Astro AWANI, di sini hari ini. 

Beliau juga berpendapat tidak sepatutnya istana dibebankan dengan masalah politik kerana situasi yang meruncing ini ditimbulkan oleh ahli politik sendiri.

"Sepatutnya sebelum adakan pertemuan dengan pihak istana, ahli politik yang menjunjung prinsip demokrasi berparlimen yang mewakili rakyat, mereka perlu membentuk persefahaman terlebih dahulu sebelum mengemukakan apa-apa syor atau saranan kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Istana tidak sepatutnya diheret ke kancah politik yang boleh menyebabkan timbulnya pelbagai persepsi rakyat. Jangan pula dijebakkan istana sebagai punca kemelut.

"Benar, Yang Di-Pertuan Agong boleh menggunakan kebijaksanaan dan budi bicara untuk buat keputusan tetapi perdamaian ahli parlimen seramai 222 orang itu juga perlu.

BACA SEMUA BERHUBUNG POLITIK MALAYSIA DI SINI


"Saya melihat pentingnya persefahaman tetapi ini takkan dapat dicapai jika tidak dapat restu daripada kelompok kecil seperti peranan Datuk Seri Zahid Hamidi dan Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Kalau dua kelompok ini boleh tentukan hala tuju mereka, maka kita boleh bentuk kerajaan," ujarnya.


Panggilan Video | Pembentukan Kabinet baharu, siapa Perdana Menteri ke-9?

Kerajaan Perikatan Nasional di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin tumbang selepas 15 ahli UMNO termasuk Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (Bagan Datuk) menarik sokongan terhadap Kerajaan PN.

Ahmad Zahid membuat pengumuman itu dalam sidang media khas pada 3 Ogos lalu.