Skip to main content

Malaysia

Kabinet setuju perluas pelaksanaan Akta 672 ke Selangor - Nga

PUTRAJAYA, 29 Julai -- Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming bercakap pada Sidang Media Pra Pelancaran Sambutan Hari Landskap Negara 2026 (HLN 2026) di kementeriannya hari ini.  Hari Landskap Negara 2026 akan berlangsung dari 6 hingga 8 Ogos ini di Stadium Hang Jebat, Melaka.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming bercakap pada Sidang Media Pra Pelancaran Sambutan Hari Landskap Negara 2026 (HLN 2026) di kementeriannya hari ini. - Foto Bernama
Advertisement

PUTRAJAYA: Jemaah Menteri bersetuju memperluas pelaksanaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) ke Selangor secara berperingkat melibatkan kesemua 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Beliau berkata pelaksanaan itu akan dibuat secara fasa ke fasa dengan sebuah pasukan petugas khas akan ditubuhkan bagi merealisasikan hasrat berkenaan.

“Kita akan terus membentuk sebuah pasukan petugas khas untuk merealisasikannya, supaya negeri Selangor sebagai antara lokomotif ekonomi negara kita...dengan tahap pembersihan awamnya juga kena tahap taraf dunia,” katanya pada sidang media sempena Prapelancaran Sambutan Hari Landskap Negara 2026 (HLN 2026) di sini hari ini.

Nga berkata selaras dengan keputusan Jemaah Menteri dan Dasar Pembersihan Awam Negara, kerajaan MADANI tekad melaksanakan reformasi pembersihan awam di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Justeru, Nga berkata pelaksanaan Akta 672 di Selangor juga dijangka menceriakan sambutan ulang tahun Jubli Perak Sultan Selangor pada tahun ini.

“Ini adalah berita baik kepada warga Selangor. Kita akan mempertingkatkan lagi prestasi pengurusan sisa pepejal di negeri Selangor dan semua 12 PBT akan terlibat, tetapi pelaksanaannya dibuat secara berperingkat," katanya.

Beliau berkata antara langkah yang akan dilaksanakan ialah memperkukuh pengasingan sisa di punca bagi meningkatkan kadar kitar semula negara selaras dengan negara maju.

Selain itu, Nga berkata kenderaan kutipan sampah yang menggunakan bahan api fosil termasuk diesel, akan digantikan dengan kenderaan elektrik secara berperingkat.

Nga berkata kutipan sampah dan kerja-kerja pembersihan juga akan dilaksanakan pada waktu malam.

“Apabila rakyat Malaysia tidur kita bersihkan. Bila rakyat Malaysia bangun negara sudah bersih dan sejahtera. Kesemua ini akan dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13,” katanya.

Sebelum ini, Akta 672  hanya diguna pakai di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Putrajaya, Kedah, Perlis dan Pahang manakala Perak, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu serta Selangor tidak menerima pakai akta tersebut.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement