KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini memperkenalkan Kad Diskaun Khas Menu Rahmah yang menawarkan diskaun sehingga 40 peratus kepada pengusaha Menu Rahmah bagi membeli barangan keperluan perniagaan.

Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata menerusi kad itu, pengusaha boleh mendapatkan barangan di enam pasar raya yang telah menjalin kerjasama dengan kementerian.

"Kerajaan berterima kasih kepada pengusaha yang menawarkan Menu Rahmah khusus kepada kumpulan yang memerlukan dengan kadar RM5 ke bawah.

"Sebab itu kita fikir bentuk galakan yang boleh diberikan kepada pengusaha yang sama-sama membantu kerajaan menangani kos sara hidup dan oleh demikian kita perkenalkan Kad Diskaun Khas ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada pelancaran Kad Diskaun Khas itu yang turut dihadiri Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh.

Armizan berkata enam pasar raya terlibat adalah AEON Big, Econsave, Giant, Lotus's, Mydin dan NSK.

Sehingga kini, beliau berkata sebanyak 2,849 premis berdaftar menawarkan Menu Rahmah dan berharap lebih banyak pihak akan turut serta dalam inisiatif itu.

Antara barangan diskaun yang ditawarkan kepada pengusaha Menu Rahmah yang telah diluluskan penyertaannya adalah barangan mentah seperti ayam, bawang dan barang asas lain bagi membantu mereka mengurangkan kos penyediaan makanan.

Selain itu beliau berkata permohonan Kad Diskaun Khas Menu Rahmah telah dibuka mulai hari ini melalui portal https://menurahmah.kpdn.gov.my dengan kriteria yang ditetapkan adalah warganegara Malaysia, telah berdaftar sebagai pengusaha Menu Rahmah di bawah kementerian itu dan perniagaan yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia serta pihak berkuasa tempatan.

Inisiatif Menu Rahmah dilancarkan bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 31 Jan lepas bagi membantu mengurangkan beban hidup rakyat terutamanya golongan kurang berkemampuan.

Menerusi program itu, restoran atau kafe yang mengambil bahagian menjual sajian atau menu pada harga RM5.

-- BERNAMA