Program kad kesetiaan pelanggan Caltex Journey yang dilancarkan pada Januari lalu bersama-sama dengan BLoyalty Sdn Bhd (BCARD) sudahpun mendaftar lebih daripada 450,000 ahli setakat ini, melangkaui sasaran awal mereka.

Selain daripada angka ini, lokasi jualan runcit yang semakin bertambah juga adalah suatu yang membanggakan – lebih 2,500 lokasi daripada 70 organisasi sekarang terlibat, dua kali ganda jumlah berbanding waktu program ini bermula. Ini belum mengambil kira stesen Caltex di seluruh negara.

Antara organisasi terbaru yang menyertai program Caltex Journey adalah Agoda, 7-Eleven dan Cosway. Sebelum ini Starbucks, Lazada, Papa John’s Pizza dan Chatime telahpun terlibat sekali.

Keahlian untuk program ini adalah percuma dengan hanya mengisi borang di stesen Caltex, serahkannya kembali di stesen dan dapatkan kad di situ juga. Dengan kad Caltex Journey ini, setiap liter petrol yang dibeli di stesen Caltex melayakkan pemegang kad kepada 1 mata BPoint. Markah yang terkumpul boleh ditebus di pelbagai pedagang BCARD, selain pembelian yang dibuat di stesen Caltex.

“Kad Journey ini bukan sahaja boleh digunakan di stesen Caltex sahaja, tetapi satu program untuk cara hidup anda dan membuka peluang di luar stesen Caltex” kata pengerusi Chevron Malaysia Ltd, Jeremy Oh.