Skip to main content

Malaysia

KADA perkenal simulasi pertanian berasaskan AI di MAHA 2026

KOTA BHARU, 24 Julai -- Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Khalid Abdul Samad bercakap pada Program Tautan Tani Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di Ibu Pejabat KADA Kelantan hari ini._BERNAMA
Kata Khalid, permainan yang dinamakan Simulasi Pertanian itu dibangunkan bagi memberi pengalaman kepada pengunjung, khususnya golongan muda dan masyarakat bandar, untuk memahami proses penanaman padi secara lebih interaktif. - Gambar fail /Bernama

KOTA BHARU: Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) akan memperkenalkan permainan video interaktif berasaskan teknologi Kecerdasan Buatan (AI), menerusi segmen Youth Engagement pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 yang berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 September depan.

Pengerusinya, Khalid Abd Samad berkata, permainan yang dinamakan Simulasi Pertanian itu, dibangunkan bagi memberi pengalaman kepada pengunjung, khususnya golongan muda dan masyarakat bandar, untuk memahami proses penanaman padi secara lebih interaktif.

Beliau berkata, menerusi permainan berkenaan, pengguna akan melalui keseluruhan proses penanaman padi bermula daripada penyediaan sawah dan pembajakan, diikuti penaburan benih, pembajaan serta penjagaan tanaman sebelum menuai hasil.

“Idea ini diketengahkan bagi memberi peluang kepada penduduk bandar merasai sendiri pengalaman menjadi petani, menerusi simulasi yang disediakan di reruai KADA sempena MAHA 2026.

“Melalui permainan ini, pengunjung dapat memahami setiap peringkat penanaman padi serta cabaran yang dihadapi petani dalam memastikan hasil tuaian yang baik,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Pagi Pengerusi Bersama Warga KADA di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat KADA, di sini, pada Selasa.

Menurut beliau, jumlah hasil yang diperoleh dalam permainan itu bergantung kepada kaedah pengurusan dan penjagaan tanaman yang dipilih oleh pemain, sekali gus memberi gambaran realistik mengenai faktor yang mempengaruhi produktiviti sawah.

Khalid berkata, permainan interaktif berkenaan kini berada pada fasa akhir pembangunan dengan kos keseluruhan dianggarkan sekitar RM30,000.

Beliau berkata, ia merupakan permainan video pertama yang dibangunkan oleh KADA yang memaparkan keseluruhan kitaran penanaman padi, berbanding sebelum ini yang hanya memfokuskan kepada proses penuaian.

Sementara itu, Khalid memaklumkan, hampir 80 peratus kawasan tanaman padi di bawah seliaan KADA bagi musim 2/2025 telah dituai dengan peningkatan hasil yang memberangsangkan.

Bagaimanapun, katanya, terdapat beberapa kawasan yang merekodkan hasil lebih rendah berikutan masalah bekalan air.

Sehubungan itu, KADA akan terus meningkatkan produktiviti dan kecekapan pengeluaran padi bagi menyokong agenda keterjaminan makanan negara serta mengurangkan kebergantungan terhadap import beras.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement