PUTRAJAYA: Peratusan capaian isi rumah kepada internet meningkat kepada 95.5 peratus pada 2021 berbanding 91.7 peratus pada 2020, demikian menurut Laporan Survei Penggunaan dan Capaian ICT oleh Individu dan Isi Rumah yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia hari ini.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata capaian oleh isi rumah terhadap telefon bimbit dan komputer juga masing-masing meningkat kepada 99.6 peratus dan 88.3 peratus pada 2021 daripada 98.6 peratus dan 77.6 peratus pada 2020.

Survei atau kaji selidik ini dilaksanakan dalam tempoh tiga bulan iaitu dari Septemberhingga November 2021, selepas sebahagian aktiviti ekonomi mula dibuka pada September 2021 dan pembukaan sepenuhnya pada Oktober 2021.

Mohd Uzir berkata pelaksanaan survei selepas kemuncak pandemik COVID-19 telah memperlihatkanpenggunaan internet dalam kalangan masyarakat Malaysia berusia 15 tahun ke atas meningkat dengan ketara kepada 96.8 peratus pada 2021 berbanding 89.6 peratus pada 2020.

"Program Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) adalah antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan penggunaan internet," katanya dalam satu kenyataan.

Pada tahun 2021, beliau menambah aktiviti internet yang paling popular di Malaysia adalah menyertai rangkaian sosial, diikuti dengan peningkatan yang ketara bagi perkhidmatan berkaitan aktiviti pembelajaran, sivik dan politik, e-Kesihatan, e-Kerajaan, e-Dagang dan hiburan.

Selain itu, Mohd Uzir menambah peratusan penggunaan internet untuk memberi pendapat atau undiberkenaan dengan sivik dan politik juga meningkat kepada 41.2 peratus pada 2021 daripada 23.5 peratus tahun sebelumnya.

Tahun lepas, lebih daripada separuh atau 70.5 peratus masyarakat Malaysia menggunakan perbankan internet, berbanding 61.9 peratus pada tahun 2020.

Dari segi pendidikan, Mohd Uzir berkata tanpa mengambil kira saluran pembelajaran atas talian melalui internet, individu yang mengikuti kursus formal atas talian meningkat kepada 29.9 peratus pada 2021 daripada 18.0 peratus pada tahun sebelumnya.

Sementara itu, bagi beli-belah dalam talian, beliau berkata pembelian barangan atau perkhidmatan melalui e-dagang seperti Shopee, Lazada dan Grab telah meningkat dengan ketara kepada 64.7 peratus pada 2021 berbanding 45 peratus pada tahun 2020.

"Pada masa kini, hiburan melalui web mudah diakses. Ini ditunjukkan oleh peningkatan mendengar radio secara dalam talian daripada 53.8 peratus (2020) kepada 64.9 peratus pada 2021," jelas beliau.

Mengenai penggunaan platform e-kerajaan, Mohd Uzir berkata peratusan pengguna internet yang berinteraksi dengan organisasi kerajaan telah meningkat daripada 35.2 peratus pada 2020 kepada 51.9 peratus pada 2021.

-- BERNAMA