JOHOR BAHRU: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Perkhidmatan Perubatan Transfusi, menyasarkan kadar pendermaan darah negara 35 hingga 40 orang per 1,000 populasi penduduk, menjelang tahun 2030.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata sasaran itu, bagi memenuhi keperluan perawatan pesakit seiring dengan kadar pertumbuhan tahunan penduduk di Malaysia.

"Kadar pendermaan darah sebelum pandemik COVID-19 iaitu pada tahun 2019 ialah 22.8 penderma per 1,000 orang penduduk di Malaysia.

"Walau bagaimanapun, kadar pendermaan darah ini sedikit menurun iaitu 19.7-22.5 penderma per 1,000 populasi pada tahun 2020, 2021 dan 2022 disebabkan COVID-19 yang melanda Malaysia dan Dunia.

"Justeru, Perkhidmatan Perubatan Transfusi menyasarkan kadar pendermaan darah 35 hingga 40 orang per 1,000 populasi penduduk menjelang tahun 2023, bagi memenuhi keperluan perawatan pesakit," katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia 2023 Peringkat Kebangsaan dan Ulang Tahun ke-75 Bulan Sabit Merah Malaysia, di sini pada Ahad.

Sementara itu, Dr Muhammad Radzi berkata sebanyak 737,554 beg darah telah didermakan pada 2022, dengan peningkatan sebanyak 13.7 peratus berbanding tahun 2021.

Beliau berkata pencapaian yang membanggakan itu ialah hasil sumbangan dan usaha sama semua pihak, penganjur kempen dan juga para penderma.

"Diharap semua pihak dapat mengekalkan usaha murni ini dan terus bersemangat, untuk meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan menderma darah secara berterusan bagi seluruh masyarakat di Malaysia," katanya.

-- BERNAMA