Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata daripada 550 ujian dijalankan pada kontak rapat dan mereka yang bergejala di 18 makmal awam di negara ini hanya 18 disahkan positif bagi COVID-19 sehingga ini.

Beliau berkata sehingga hari ini seluruh episod jangkitan kluster ditangani dengan baik oleh kementerian dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) yang dipengerusikan timbalan perdana menteri.

"Itu respons kami kepada WHO," katanya ketika diminta mengulas kenyataan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berhubung jangkitan COVID-19.

Dalam sidang media harian berhubung Covid-19 di Putrajaya hari ini, beliau berkata kenyataan WHO bahawa jangkitan COVID-19 akan berleluasa perlu dilihat dalam konteks sewajarnya kerana Malaysia belum lagi sampai ke peringkat itu.


[LAPOR LANGSUNG] COVID-19 Angka kematian meningkat kepada 1,114

WHO menasihatkan kerajaan Malaysia membuat persediaan bagi kemungkinan penyebaran lebih meluas COVID-19 yang telah menjangkiti lebih puluhan ribu orang dan meragut nyawa lebih 1,000 orang di China.

Pengarah WHO bagi rantau Pasifik Barat Dr Takeshi Kasai, berkata dalam kenyataan hari ini bahawa maklumat terkini menunjukkan virus itu mungkin lebih mudah tersebar daripada data awal yang dicadangkan, tetapi mengambil perhatian bahawa ia bukan bermakna penyakit itu akan tersebar dengan mudah di Malaysia atau tempat lain.

Bermula semalam WHO mengisytiharkan COVID-19 sebagai nama rasmi bagi penyakit virus korona 2019.