Kekurangan jumlah pelancong yang mengunjungi Pulau Langkawi sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu menyumbang kepada penurunan kes jenayah di pulau itu.

Menurut Ketua Polis Daerah Langkawi Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim, kadar jenayah di Pulau Langkawi berkurangan hampir 60 peratus daripada sebelum ini.

"Kadar jenayah menurun sepanjang tempoh PKP dan kebiasaan di sini biasanya melibatkan jenayah harta benda, kecurian kenderaan motosikal dan juga pecah rumah serta ada beberapa insiden ragut.

"Namun, kejadian itu tidak berlaku dalam tempoh PKP memandangkan kemungkinan semua penduduk berada di rumah masing-masing.

"Jadi, tiada peluang iaitu sasaran pelancong yang datang untuk jadi mangsa jenayah," katanya.

Mohd Ikbal memaklumkan sepanjang tempoh PKP, 180 jumlah tangkapan dilakukan daripada jumlah itu 144 telah dituduh manakala selebihnya kini dalam proses dituduh di mahkamah.

Kesemua ditahan melakukan kesalahan di bawah Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Sepanjang tempoh PKP ini, seramai 360 anggota dan pegawai dan dibantu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah melakukan kawalan dalam mengekang penularan wabak COVID-19.

Sehingga hari ini, Langkawi mencatatkan Zon Hijau di mana tiada pesakit yang disyaki positif berada di pulau itu.

Bagaimanapun, katanya lagi, memasuki fasa ke 3 PKP, langkah pencegahan dititikberatkan di mana pihaknya turut bekerjasama dengan Majlis Daerah Langkawi (MDL), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ia bagi memastikan semua 110,000 penduduk di pulau itu mematuhi arahan termasuk memakai topeng penutup muka dan mengamalkan penjarakan sosial terutama di kawasan tumpuan seperti pasar dan pasar raya.