Kadar jenayah jalanan di ibu kota menunjukkan pengurangan yang ketara pada tahun lepas, penurunan sebanyak 37.7 peratus atau berkurang 439 kes berbanding 2014.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainol Samah berkata sepanjang tempoh Januari hingga Disember 2015, kadar jenayah jalanan seperti samun dan ragut adalah 675 kes, penurunan daripada 1,114 kes pada tahun sebelum itu.

"Kadar indeks jenayah di bawah (Ibu Pejabat Polis Daerah) Dang Wangi mencatatkan penurunan sebanyak 13.6 peratus atau berkurangan 648 kes tahun lepas jika dibandingkan dengan 2014," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini hari ini.

Beliau berkata pada 2014 kadar jenayah ialah 4,768 kes dan pada 2015 menurun kepada 4,120 kes.

"Ini berikutan usaha berterusan dari segi pencegahan dan risikan serta maklumat orang ramai sehingga membolehkan polis membanteras jenayah ini.

"Selain itu, penempatan balai bergerak dan rondaan menggunakan kereta peronda serta Unit Rondaan Bermotosikal di kawasan tumpuan seperti di Jalan Ampang, Bukit Bintang dan Pasar Seni dilihat berkesan dalam menurunkan indeks jenayah ini," katanya.

Kejayaan ini dicapai atas kesungguhan dan komitmen seluruh warga Dang Wangi dalam memastikan keselamatan warga kota sentiasa berada di tahap yang terbaik, kata Zainol.