PUTRAJAYA: Kadar migrasi di Malaysia menurun kepada 0.5 peratus iaitu 158,000 orang pada 2022 berbanding 1.5 peratus atau 484,100 pada 2020, menurut Laporan Survei Migrasi 2022 yang dijalankan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin dalam satu kenyataan pada Khamis berkata pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung pandemik COVID-19 sehingga separuh pertama 2021 telah mempengaruhi penurunan kadar migrasi.

Beliau berkata komposisi migrasi dalam negeri meningkat kepada 62.3 peratus pada 2022 berbanding 58.4 peratus pada 2020, sebaliknya migrasi antara negeri menurun kepada 30.3 peratus berbanding 31.2 peratus pada 2020 dan migrasi antarabangsa jatuh daripada 10.4 peratus pada 2020 kepada 7.4 peratus pada 2022.

"Tiga negeri yang mencatatkan peratusan tertinggi migrasi dalam negeri pada 2022 ialah Johor iaitu 91.9 peratus, diikuti Kedah (72.9 peratus) dan Selangor (71.9 peratus), manakala Negeri Sembilan dan Perlis merekodkan migrasi dalam negeri terendah pada 2022 dengan masing-masing pada 38.0 peratus.

"Migrasi dalam negeri melalui aliran migrasi menunjukkan bahawa migrasi dari bandar ke bandar kekal tinggi pada 79.3 peratus diikuti bandar ke luar bandar (14.7 peratus), luar bandar ke bandar (2.4 peratus) dan luar bandar ke luar bandar (3.6 peratus).

Mohd Uzir berkata semua negeri mencatatkan pergerakan dari kawasan bandar ke bandar yang lebih tinggi pada 2022, namun Terengganu merupakan satu-satunya negeri yang mencatatkan migrasi dari bandar ke luar bandar yang lebih tinggi iaitu pada 41.1 peratus.

"Selangor mencatatkan pergerakan migran dalaman tertinggi dengan jumlah 29,200 migran masuk. Majoriti migran masuk ke Selangor merupakan dari Johor (1,400 orang) dan Kelantan (700 orang).

"Selangor juga merekodkan jumlah migran dalam negeri tertinggi iaitu 26,500 orang, diikuti Johor (22,400 orang) dan Kedah (7,300 orang)," katanya.

Mohd Uzir berkata aliran keluar migran dalaman tertinggi juga direkodkan di Selangor iaitu 37,200 orang dengan majoriti migran keluar berhijrah ke Negeri Sembilan (3,500 orang) dan Kelantan (1,800 orang).

Beliau berkata ciri-ciri demografi migrasi dalaman menunjukkan bahawa penduduk berumur 25-34 tahun mempunyai kadar migrasi dalaman tertinggi pada 2022 iaitu 0.9 peratus manakala, warga emas (65 tahun dan ke atas) merupakan kumpulan umur yang paling sedikit bermigrasi iaitu 0.1 peratus.

"Mengikut keluarga kekal sebagai sebab utama migrasi dalaman pada 2022 iaitu 47.3 peratus, diikuti faktor persekitaran (19.3 peratus), kerjaya (18.3 peratus), perkahwinan dan perceraian (5.7 peratus), pendidikan (5.4 peratus) dan lain-lain (3.9 peratus)," katanya.

Survei Migrasi 2022 telah dijalankan pada 2022 bagi tempoh rujukan 2021 hingga 2022. Migran di dalam laporan itu merujuk kepada mereka yang mempunyai tempat kediaman biasa yang berbeza pada dua titik masa dalam tempoh satu tahun dan ia tidak termasuk mereka yang berpindah dalam kawasan yang sama.

-- BERNAMA