KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (KSM) sedang merangka langkah untuk menghadapi fenomena penghijrahan rakyat Malaysia berpelajaran tinggi ke luar negara untuk mencari peluang pekerjaan lebih baik, kata Menterinya V Sivakumar.

Beliau berkata Malaysia mempunyai kadar penghijrahan cendekiawan sebanyak 5.5 peratus daripada keseluruhan penduduk dalam negara, lebih tinggi daripada kadar purata 3.3 peratus di peringkat global.

"Dalam pada itu, seramai 1.86 juta rakyat Malaysia menetap di luar negara, dan 1.13 juta daripada jumlah itu menetap di Singapura," katanya ketika mengulas isu berkenaan selepas mempengerusikan sesi dialog Talent Corporation Malaysia Bhd (TalentCorp) bersama 20 pemain industri di sini, semalam.

Menurut laporan Jabatan Hal Ehwal Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDESA) pada 2020, destinasi negara utama diaspora dari Malaysia adalah Singapura, Bangladesh, Australia, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Brunei.

Sivakumar berkata usaha menarik balik rakyat Malaysia untuk kembali bekerja di dalam negara memerlukan masa yang panjang.

"Ada dua perkara ... satu, bagaimana anda menarik minat orang yang sudah tinggalkan negara (Malaysia) untuk bekerja di negara-negara luar? Apa cara terbaik dengan insentif tertentu yang lebih menarik untuk tarik mereka datang (balik)?

"Kedua, bagaimana kita pastikan tiada faktor yang menarik (di luar negara) atau sebaliknya, faktor penolak di industri dalam negara yang menyebabkan rakyat keluar?" katanya.

Beliau berkata ini tanggungjawab yang berat untuk KSM serta TalentCorp, dan kedua-dua pihak sedang berusaha untuk menyelesaikan masalah ini dengan kaedah terbaik.

-- BERNAMA