ALOR GAJAH: Kerajaan negeri menerusi Perbadanan Ketua Menteri Melaka (CMI) menawarkan kadar sewa premis perniagaan yang rendah kepada golongan belia di negeri itu, untuk berniaga di Pulau Melaka di sini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, golongan belia berkenaan, bebas menjalankan apa jua jenis perniagaan seperti makanan, minuman, pusat tuisyen atau inap desa, dengan kadar sewaan RM600 sebulan.

Beliau berkata, Jabatan Belia dan Sukan negeri dan Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM), akan menjadi penyelaras inisiatif berkenaan dalam usaha membuka peluang kepada golongan belia untuk memulakan perniagaan.

"Terdapat 617 unit rumah kedai yang masih kosong di Pulau Melaka ketika ini dan golongan belia yang berminat, diminta segera memohon di bawah CMI atau menerusi persatuan belia masing-masing.

"Mereka perlu berniaga selama tiga tahun untuk mendapat kadar sewaan RM600 sebulan bagi satu lot kedai, berbanding sewa sebenar iaitu RM1,000 sebulan," katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-40 MGBM, yang turut dihadiri Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam, Adli Abdul Halim dan Presiden MGBM, Datuk Seri Khaidhirah Abu Zahar yang baru dilantik bagi penggal 2024-2026.

Ab Rauf berkata, insiatif berkenaan dilakukan bukan sahaja untuk melahirkan lebih ramai usahawan dalam kalangan belia di negeri itu, malah bertujuan memajukan kawasan Pulau Melaka yang sebelum ini ingin dibangunkan sebagai 'Arab City.'

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sebuah pusat kecemerlangan akan dibangunkan bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, menerusi dana tambahan berjumlah RM10 juta yang diterima daripada kerajaan Persekutuan bagi memperkasa program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negeri itu.

Ab Rauf berkata, tenaga kerja yang dilahirkan akan mengisi keperluan sektor perindustrian dan pelaburan di negeri itu, sekali gus inisiatif tersebut memastikan rakyat tempatan khususnya golongan belia mendapat peluang pekerjaan.

"Pusat kecemerlangan ini akan dibangunkan dalam Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), bagi melatih pekerja berkemahiran tinggi dengan kerjasama universiti itu," katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan dana tambahan berjumlah RM10 juta kepada Melaka, bagi memperkasa program TVET di negeri itu dengan kerjasama institusi TVET dan penggiat industri. - BERNAMA