Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia tidak menolak kemungkinan akan menaikkan harga tambang bagi sesi persekolahan tahun depan berikutan kos operasi yang meningkat.

Presidennya Mohd Rofik Mohd Yusof berkata pihaknya menjangkakan kenaikan itu adalah RM10 bagi kawasan luar bandar, manakala RM20 bagi kawasan bandar.

"Kenaikan tersebut dilakukan berikutan pelbagai kos yang perlu ditanggung oleh pengusaha termasuk alat ganti yang naik 50 hingga 80 peratus setiap tahun selain kos penyelenggaraan.

"Kami tidak menolak kemungkinan akan ada pengusaha bas sekolah berbuat demikian (menaikkan harga tambang) untuk membolehkan mereka terus bernafas dan memberikan perkhidmatan," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan Gabungan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia Kali Keenam di sin, hari ini.

Ketika ini tambang bas sekolah bagi kawasan bandar adalah sekitar RM80, manakala RM60 bagi kawasan luar bandar.

Menurut Mohd Rofik, cadangan kenaikan itu bagaimanapun perlu dibincangkan terlebih dahulu antara pengusaha bas sekolah dan ibu bapa.

"Tambang bas sekolah kini terpulang kepada (perbincangan) antara pengusaha bas dengan ibu bapa. Ibu bapa mempunyai ruang yang secukup-cukupnya, kalau dia rasa pengusaha ini mahal, boleh pergi kepada yang lain," katanya.

Selain itu, katanya, harga minyak yang tidak menentu juga menjadi antara sebab kenaikan kadar tambang bas sekolah tahun depan.

Sehubungan itu, beliau mengulangi permintaan persatuan agar kerajaan memberikan subsidi minyak diesel sebanyak RM1 seliter kepada kira-kira 18,000 pengusaha bas di seluruh negara seperti yang diterima nelayan.

Mohd Rofik berkata ketika ini terdapat pengusaha yang menerima kad subsidi minyak diesel bagi membolehkan mereka menikmati subsidi RM0.20 seliter sehingga maksimum 570 liter setiap bulan.

"Daripada 18,890 ahli persatuan, hanya 2,000 yang menerima kad subsidi itu setakat ini. Kami juga menerima banyak aduan daripada pengusaha mengenai stesen minyak enggan menerima pembelian diesel subsidi menggunakan kad tersebut.

"Saya terima banyak aduan daripada pengusaha bas sekolah yang memberitahu apabila mahu beli diesel guna kad ini, pengusaha stesen minyak kata mesin tergendala sehingga kereka terpaksa membayar mengikut harga pasaran," katanya.

Beliau dalam pada itu, turut menyarankan kerajaan menyeragamkan proses pembaharuan lesen, cukai jalan serta pemeriksaan Perkhidmatan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) bagi kenderan perdagangan.

Katanya tempoh tamat secara berasingan bagi setiap dokumen berkaitan menyukarkan operasi pengusaha bas.

"Kalau boleh biarlah tamat serentak dalam tempoh setahun. Diharap agensi-agensi terlibat seperti JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan), Puspakom dan lain-lain melihat semula dasar ini bagi memudahkan pengusaha bas sekolah," katanya.

-- BERNAMA