MALAYSIA
Kadzim angkat sumpah Speaker DUN Sabah untuk penggal kedua

Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman menyampaikan watikah pelantikan sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah kepada Datuk Kadzim M Yahya di Istana Seri Kinabalu hari ini. - Foto Bernama
KOTA KINABALU: Datuk Seri Kadzim M Yahya mengangkat sumpah sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah untuk penggal kedua di hadapan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu di sini hari ini.
Ringkasan AI
- Datuk Seri Kadzim M Yahya mengangkat sumpah sebagai Speaker DUN Sabah untuk penggal kedua di hadapan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, di Istana Seri Kinabalu.
- Pelantikan semula ini sah untuk tempoh lima tahun, disaksikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, serta dihadiri Ketua Menteri Hajiji Noor dan barisan kepimpinan negeri.
- Tiada pengumuman pembubaran DUN dibuat; DUN Sabah ke-16 akan terbubar secara automatik pada 11 November jika tidak dibubarkan lebih awal.
Turut hadir Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, Timbalan-Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam dan Datuk Shahelmey Yahya serta menteri dan pembantu menteri Kabinet Sabah.
Kadzim, 66, yang dilantik sebagai Speaker DUN Sabah pada 1 Okt 2020, berkelulusan Bachelor of Law (LLB) daripada Council for National Academic Awards (CNAA) United Kingdom dan pemegang Certificate in Legal Practice (CLP) Malaysia Qualifying Board.
Beliau pernah menyandang jawatan Pegawai Undang-Undang Ko-Nelayan dari 1987 hingga 1990 dan Pengerusi Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah dari 2008 hingga 2018.
Terdahulu, petugas media berkumpul bermula 9 pagi di hadapan Istana Seri Kinabalu termasuk melakukan persediaan sekiranya terdapat isyarat DUN Sabah akan dibubarkan.
Bagaimanapun, tiada sebarang pengumuman mengenai pembubaran DUN dan Jabatan Ketua Menteri Sabah dalam kenyataan kemudiannya, hanya memaklumkan perlantikan semula Kadzim sebagai Speaker DUN Sabah.
DUN Sabah ke-16 akan terbubar secara sendiri pada 11 Nov jika tidak dibubarkan sebelum tarikh itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami