Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 menunjukkan, 60 peratus daripada wanita Malaysia tidak melakukan pemeriksaan pap smear bagi tujuan saringan kanser serviks, sejak tiga tahun lalu.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, susulan itu, kerajaan mengambil pendekatan baharu untuk menggantikan pemeriksaan tersebut dengan kaedah ujian Virus Papiloma Manusia (HPV) yang lebih mesra prosedur dalam tempoh tiga tahun lagi.

Beliau menjelaskan, pada peringkat awal, menerusi projek perintis, kaedah baharu itu dilaksanakan di empat buah negeri iaitu, Kuala Lumpur, Putrajaya, Kelantan dan Kedah, sejak akhir tahun lalu.

"Dengan menggunakan kaedah pemeriksaan HPV, seorang wanita hanya perlu melakukan ujian tersebut pada setiap lima tahun berbanding setahun sekali sekiranya menggunakan kaedah ujian pap smear.

"Saya difahamkan ujian pap smear bukanlah satu kaedah yang selesa. Ramai wanita malu dan takut.

"Jadi dengan menggunakan keadah HPV, seseorang wanita boleh menjalankan ujian tersebut dengan sendiri dengan hanya menggunakan swab device dan kemudian diserahkan kepada petugas kesihatan untuk menjalani ujian Polimerase-Transkripsi Terbalik (RT-PCR)," katanya di Dewan Rakyat di sini, pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan June Leow Hsiad Hui (PKR-Hulu Selangor) mengenai langkah kerajaan dalam meningkatkan kadar pemeriksaan bagi mencegah kanser pangkal rahim dalam kalangan wanita di negara ini.

Dalam pada itu, ketika menjawab soalan tambahan Datuk Azizah Mohd Dun (Bersatu-Beaufort) mengenai capaian saringan dengan menggunakan kaedah baharu itu, Noor Azmi menjelaskan, 98 peratus daripada individu yang menjalani ujian itu mampu melakukan proses tersebut secara sendiri.