KUALA LUMPUR: Sekitar 37 peratus daripada 6,818 responden kajian Malaysian Ageing and Retirement Survey (MARS) tidak begitu memikirkan tentang pelan persaraan mereka, 23 peratus mungkin akan menukar persekitaran kerja; manakala 21 peratus lagi akan terus bekerja sehingga kesihatan tidak mengizinkan.
Hasil cerapan ke atas responden yang terbahagi kepada tiga kategori iaitu - 40 hingga 49 tahun; 50 hingga 59 tahun; dan 60 hingga 69 tahun – lebih dari 60 peratus mengatakan mereka jarang sekali atau langsung tidak pernah memikirkan tentang persaraan.
Kajian itu menyebut, perkara itu tidak begitu mengejutkan memandangkan sebahagian besar responden terlibat dalam sektor berkaitan pertanian; bekerja sendiri atau tidak formal; mempunyai pekerjaan berpendapatan rendah yang tidak ada struktur pekerjaan atau tiada kelebihan persaraan.
“Bagi kumpulan ini, persaraan tidak begitu penting, dan mereka akan terus bekerja selagi mana tahap fizikal dan kesihatan mental mereka membenarkan ia terjadi,” menurut kajian itu lagi.
Kajian MARS oleh Social Well Being Research Centre (SWRC) Universiti Malaya (UM), dengan kerjasama Asian Development Bank (ADB) itu melalui dua fasa iaitu Wave 1 pada 2019 dengan 5,163 responden isi rumah, dan Wave 2 (Oktober 2020 – April 2022) yang mengambil 75 peratus responden Wave 1 dan 1,000 responden baharu.
Daripada keseluruhan responden, 45 peratus masih bekerja; 62 peratus terdiri daripada lelaki dan 32 peratus wanita; tiga suku responden lelaki dan 85 peratus responden wanita mempunyai perniagaan sendiri atau bekerja sendiri; manakala 80 peratus responden keseluruhan mempunyai pendapatan.
70 peratus responden mengatakan pendapatan mereka kurang dari RM2,000 sebulan, dan 50 peratus responden memetik pemindahan wang awam sebagai sumber pendapatan mereka.
Kajian itu menyebut, majoriti responden mempunyai sikap positif dalam kehidupan, terutamanya mempunyai keluarga yang penyayang, rakan-rakan, dan mempunyai makna dalam kehidupan.
Namun 80 peratus responden tidak bersedia untuk hidup dalam fasiliti bantuan kehidupan, manakala sebahagian besar responden bersetuju agar kerajaan mewajibkan anak-anak dewasa untuk menjaga ibu-bapa mereka.
Sumber Pendapatan
Dalam pada itu, 46 peratus responden dilaporkan menerima elaun kos sara hidup sebagai sumber pendapatan; 41 peratus menerima bantuan keluarga; dan 27 peratus pula menerima gaji atau pendapatan daripada perniagaan.
“Kebergantungan yang tinggi terhadap sumbangan Kerajaan Persekutuan dan Negeri, zakat, dan dari badan-badan bukan kerajaan (NGO) menandakan majoriti responden menerima pendapatan yang rendah, dan perlu diklasifikasikan sebagai penerima bantuan dari pelbagai sumber.
Kajian itu selanjutnya menyebut, tanpa mengambil kira status pekerjaan, majoriti responden yang tidak bekerja menerima sumbangan yang besar dari pemindahan dana awam (52 peratus) dan swasta (63 peratus), berbanding mereka yang bekerja.
“Pendapatan berkaitan pekerjaan oleh 34 peratus responden yang tidak bekerja mencadangkan mereka mungkin menerima pencen atau keuntungan dari bahagian mereka dalam perniagaan,” menurut kajian itu lagi.
Penilaian Kesihatan Diri
Mengenai topik kesihatan, MARS menyebut, peningkatan usia tidak semestinya membawa maksud akan mempunyai tahap kesihatan baik untuk tempoh yang lebih lama.
“Penuaan sering dikaitkan dengan penurunan tahap kesihatan yang berkala, termasuk keupayaan fizikal dan mentap. Ia juga sering dikaitkan dengan penyakit kronik seperti hypertensi, kolestrol tinggi, diabetes, penyakit Alzheimer, serta arthritis,” menurut kajian itu lagi.
Secara keseluruhan, 51 peratus responden menyatakan mereka mempunyai tahap kesihatan yang baik, manakala 8 peratus mempunyai tahap kesihatan yang teruk. Responden yang mempunyai kesihatan baik lebih tinggi di kalangan lelaki (53 peratus) berbanding wanita (49 peratus), manakala mempunyai kesihatan teruk lebih tinggi di kalangan wanita (8 peratus) berbanding lelaki (7 peratus).
Insurans
Secara amnya, MARS menyebut rata-rata rakyat Malaysia mempunyai liputan rawatan kesihatan yang baik dari Hospital Kerajaan dan Fasiliti Penjagaan Kesihatan.
“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ada peningkatan trend pembelian insurans kesihatan swasta dari individu atau organisasi korporat, dan fasiliti penjagaan kesihatan swasta juga semakin bertambah di negara ini,” menurut kajian itu lagi.
Bagaimanapun, hanya 14 peratus responden kajian yang mempunyai insurans kesihatan swasta, dengan responden lelaki sedikit tinggi (16 peratus) berbanding responden wanita (13 peratus).
Dengan 70 peratus responden pernah menjalani pemeriksaan kesihatan, sebahagian besar daripada mereka membuat pemeriksaan di fasiliti kesihatan kerajaan, MARS mencadangkan agar kempen menggalakkan pemeriksaan pencegahan penyakit perlu dipromosi dalam bentuk insentif.
Cadangan MARS
Kajian MARS mendapati akta dan perundangan sedia ada di negara ini masih belum komprehensif bagi tujuan regulasi perkhidmatan penjagaan warga emas, serta perlindungan dari pengabaian dan penderaan, berbanding negara seperti Singapura, Bangladesh dan India.
Bagi tujuan memastikan warga emas mempunyai kehidupan yang lebih baik dan terjamin, kajian itu seterusnya mencadangkan agar akta berkaitan perlu diperkenalkan di negara ini, dan proses pembentukannya perlu melalui kajian komprehensif dan perbincangan dengan pemegang taruh tentang skop atau liputan, penguatkuasaan, serta impak akta tersebut.
Firdaus Azil
Wed Aug 30 2023
Akta di negara ini masih belum komprehensif bagi tujuan regulasi perkhidmatan penjagaan warga emas, serta perlindungan dari pengabaian. - Gambar hiasan/BERNAMA
Harga RON97, RON95 dan diesel kekal
Harga runcit petrol RON97 dan RON95 di seluruh negara masing-masing kekal pada paras RM3.19 dan RM2.05 seliter bagi tempoh 12 hingga 18 Dis ini.
Dewan Rakyat lulus RUU Keselamatan Dalam Talian 2024
RUU itu diluluskan melalui undi belah bahagi dengan 77 Ahli Parlimen bersetuju, 55 tidak bersetuju serta 90 tidak hadir.
Proses ukur tanah hak adat bumiputera di Sarawak berbaki 13 peratus
Proses pengukuran tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di Sarawak kini hampir selesai, dengan hanya sekitar 13 peratus daripada keseluruhan keluasan tanah yang dianggarkan masih belum disukat.
Warga emas besarkan anak OKU di rumah daif
Kerana kasih dan kerana sayang seorang ibu tunggal yang sudah mencecah usia 80 tahun terus cekal menjaga anak kurang upaya nya.
Sarawak tidak pinggir subjek BM, utamakan kelulusan
Kerajaan Sarawak tidak pernah meminggirkan kepentingan subjek Bahasa Melayu, malah mengutamakan kelulusan subjek tersebut sebagai syarat kemasukan ke institusi pengajian tinggi miliknya.
Sarawak sasar 609,000 pelancong Indonesia pada 2025
Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) menyasarkan ketibaan 609,000 pelancong dari Indonesia ke Sarawak pada tahun depan, didorong oleh daya tarikan gabungan unik budaya, pengembaraan, alam semula jadi, makanan, dan perayaan yang ditawarkan.
Tenaga kerja berkemahiran perlu ambil kira penguasaan AI
Penyediaan 500 ribu tenaga kerja Sarawak berkemahiran pada masa depan perlu mengambil kira kemampuan mereka untuk menguasai teknologi AI atau kecerdasan buatan.
DAP Sabah diberi mandat kaji kedudukan dalam kerajaan negeri
Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP memberi mandat penuh kepada pimpinan DAP Sabah untuk mengkaji semula kedudukan parti dalam pentadbiran kerajaan negeri itu, dan mengambil tindakan selanjutnya susulan isu rasuah membabitkan pemimpin di Sabah.
Jangan terpedaya harga murah kenderaan mewah negara jiran
Rakyat Sabah dinasihatkan agar tidak terpedaya dengan tawaran harga murah kenderaan mewah yang dipercayai kereta klon dari negara jiran Brunei Darussalam.
Jumlah mangsa banjir di PPS terus menurun di sebelah petang
Situasi banjir di semua negeri terlibat beransur pulih dengan jumlah mangsa menurun setakat 4 petang tadi.
Kaji Selidik MARS: 60 peratus responden langsung tidak kisah tentang persaraan
Akta di negara ini masih belum komprehensif bagi tujuan regulasi perkhidmatan penjagaan warga emas, serta perlindungan dari pengabaian dan penderaan.