NATIONAL
Kaji semula cadangan bayaran SSPA secara bulanan

Cadangan pembayaran simpanan KWSP kepada penjawat awam secara bulanan seperti kaedah pencen perlu dikaji semula. Gambar kecil: Azih. - Sinar Harian
SHAH ALAM: Cadangan pembayaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada penjawat awam secara bulanan seperti kaedah pencen perlu dikaji semula dan dibincangkan menyeluruh bersama kesatuan-kesatuan penjawat awam.
Ringkasan AI
- Perlu Perbincangan Menyeluruh: Presiden Pejasma, Datuk Azih Muda menegaskan bahawa cadangan pembayaran KWSP secara bulanan kepada penjawat awam perlu dikaji semula bersama kesatuan pekerja kerana simpanan KWSP adalah hak individu hasil caruman bersama pekerja dan majikan.
- Kebimbangan & Cadangan Penambahbaikan: Kerajaan perlu melaksanakan tempoh percubaan sekurang-kurangnya setahun untuk menilai keberkesanan sistem tersebut. Selain itu, kebimbangan terhadap penipuan dalam talian tidak seharusnya menjadi alasan untuk mengubah dasar pengeluaran simpanan.
- Kesaksamaan Antara Sektor Awam & Swasta: Azih menyatakan bahawa jika kaedah pembayaran bulanan diteruskan untuk penjawat awam, prinsip yang sama juga perlu dikenakan ke atas pekerja sektor swasta supaya dasar tersebut lebih adil dan selaras.
“KWSP ini merupakan caruman pekerja, bukan wang kerajaan. Kalau seseorang itu sudah menyimpan dia berhak tentukan sama ada mahu keluarkan sekali gus atau secara berperingkat.
“Tidak dinafikan ada kebimbangan seperti penipuan atau ‘scam’ dalam talian tetapi itu tak boleh dijadikan alasan mengubah dasar pengeluaran simpanan yang sah milik penyimpan,” katanya kepada Sinar Harian.
Sebelum ini, Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) baharu yang akan diperkenalkan kerajaan bagi menggantikan skim pencen, dijangka mengekalkan kaedah pembayaran sedia ada iaitu secara bulanan.
Melaluinya, penjawat awam menepati had umur persaraan ditetapkan akan dibayar secara bulanan seperti kaedah pencen sebelum ini, berbanding dibenarkan membuat pengeluaran secara sekali gus.
Cadangan itu disifatkan lebih proaktif memandangkan banyak kes pesara kerajaan kerugian wang persaraan akibat menjadi mangsa penipuan, selain membolehkan simpanan hari tua diuruskan lebih efisien.
Menurut Azih, sekiranya kerajaan mahu melaksanakan pembayaran secara bulanan kepada penjawat awam, prinsip sama juga seharusnya dikenakan ke atas pekerja sektor swasta.
“Tidak adil jika hanya penjawat awam sahaja dikenakan kaedah itu. Pekerja sektor swasta juga perlu dikenakan bayaran secara bulanan.
“Mereka ini masing-masing mempunyai perancangan kewangan tersendiri, oleh itu perkara ini wajar dibincangkan semula secara teliti bersama persatuan penjawat awam,” ujarnya.
Justeru beliau turut menggesa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk lebih aktif berinteraksi dengan wakil persatuan penjawat awam sebelum memuktamadkan sebarang perubahan dalam kaedah pembayaran simpanan persaraan.
“JPA perlu memperbanyakkan libat urus dengan persatuan penjawat awam dalam memperhalusi kaedah pembayaran kepada mereka yang tidak lagi menikmati skim pencen.
“Jika hendak melaksanakan kaedah baru, ia haruslah diselaraskan secara adil antara sektor awam dan swasta,” katanya. -- Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami