KUCHING: Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak mahu mengkaji semula proses kerja Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri sebagai sebahagian daripada usaha untuk meminimumkan berlakunya projek sakit.

Menterinya yang juga Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata jabatan itu sudah pun mempunyai prosedur operasi standard yang canggih namun masalah masih wujud.

Beliau berkata pada masa ini terdapat 84 projek sakit di negeri ini.

"Persoalannya mengapa ini masih berlaku? Amat kritikal projek itu dapat disiapkan kerana rakyat dan kerajaan mempunyai harapan yang sangat tinggi untuk JKR dan kementerian untuk melaksanakannya.

"Jadi keutamaan kami ialah ada pelan tindakan untuk memastikan ia akan berjaya dilaksanakan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Uggah berkata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg juga mahu kementerian itu mengkaji semula dasar, pembangunan dan strategi keseluruhan lima pelabuhan negeri itu.

Beliau berkata pelabuhan-pelabuhan ini amat penting kerana ia adalah nadi negeri ini untuk pertumbuhan selanjutnya.

"Ini (pertumbuhan) banyak bergantung kepada kecekapan pelabuhan kita, pembangunan dan keupayaan untuk menawarkan perkhidmatan bertaraf dunia kepada pelanggan yang kebanyakannya adalah pelabur asing," katanya.

Uggah berkata pentadbiran pelabuhan bersedia untuk mencari dan mengguna pakai teknologi tinggi terkini untuk meningkatkan perkhidmatan dan prestasi mereka.

-- BERNAMA