LOS ANGELES: Individu yang hidup susah semasa kanak-kanak, seperti didera atau diabaikan cenderung untuk dimasukkan ke hospital atau meninggal dunia akibat COVID-19 ketika dewasa, menurut satu kajian baharu oleh penyelidik Universiti Pittsburgh di Amerika Syarikat (AS).

Kanak-kanak yang melaporkan sendiri penganiyaan yang dialami mereka dikaitkan dengan kebarangkalian 12 hingga 25 peratus lebih tinggi untuk masuk hospital atau mati kerana COVID 19, menurut kajian yang diterbitkan dalam Journal of Epidemiology and Community Health, lapor Xinhua.

Ini merupakan kajian pertama yang menemui kaitan antara COVID-19 dengan pengabaian dan penderaan kanak-kanak.

Sementara faktor umur, jantina, etnik, kesihatan dan sosiodemografi telah dikaitkan dengan hasil kajian seumpama itu dalam tempoh pandemik, ini kajian pertama yang menemui kaitan antara COVID-19 serta pengabaian dan penderaan semasa usia kanak-kanak.

"Penemuan ini menunjukkan bagaimana trauma pada peringkat awal kehidupan boleh memberi kesan berpanjangan kepada kesihatan beberapa dekad kemudian," kata seorang penyelidik di Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Pembelajaran universiti itu, Jamie L. Hanson.

"Kita mungkin memerlukan intervensi yang disasarkan untuk individu dan komuniti tertentu yang terkesan akibat kesukaran semasa zaman kanak-kanak bagi mengurangkan kesan berpanjangan wabak itu," kata Hanson.

-- BERNAMA