"Kajian pilihan raya Datuk Bandar KL bukan dilakukan orang DAP" - Hannah Yeoh

Hannah Yeoh (kanan) menjawab soalan wartawan pada sidang media selepas sesi menandatangani Nota Kerjasama di Kuala Lumpur, pada Selasa. Turut sama ialah Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki. - Gambar Astro AWANI/ SHAHIR OMAR
PUTRAJAYA: Kajian mengadakan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur bukan dilakukan oleh pemimpin DAP, sebaliknya, dijalankan oleh ahli akademik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), sebuah institusi akademik yang berwibawa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh menegaskan, kajian berkenaan, bagaimanapun, masih di peringkat awal dan ia tidak melibatkan pelaksanaan dasar atau pindaan undang-undang.
“Saya telah menjelaskan bahawa peringkat ini hanyalah peringkat kajian. Kajian ini dijalankan kerana terdapat Rang Undang-Undang Persendirian yang telah dikemukakan oleh seorang ahli Parlimen Wilayah Persekutuan dalam sidang Parlimen sebelum ini.
“Kajian ini bukan dilaksanakan sekarang, sebaliknya telah bermula sejak bulan Disember semasa mantan Menteri Wilayah. Jangan bimbang, kajian ini dilakukan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), sebuah universiti yang berwibawa. Kajian ini bukan dilakukan oleh orang DAP, tetapi oleh UIAM yang saya yakin mempunyai kualiti penyelidikan yang tinggi,” katanya.
Hannah berkata demikian ketika kepada pemberita selepas sesi menandatangani Nota Kerjasama antara Jabatan Wilayah Persekutuan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Selasa.
Menurut Hannah, sehingga kini pihaknya belum menerima hasil kajian dan masih menunggu dapatan penuh.
“Selepas mendengar hasil kajian sama ada boleh atau tidak boleh dilaksanakan, barulah kita akan menyediakan kertas Kabinet untuk dimaklumkan kepada Kabinet sama ada Jabatan Wilayah Persekutuan perlu meminda akta berkenaan atau tidak.
"Pada masa ini adalah terlalu awal untuk memberi sebarang komen kerana proses kajian masih berjalan,” katanya.
Sebelum ini, Hannah berkata kajian sedang dijalankan bagi proses pelaksanaan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) di ibu kota, termasuk pemilihan Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Beliau turut memaklumkan, kajian tersebut dijalankan sejak Disember lalu, susulan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian yang dikemukakan Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan pada November 2025 bagi meminda Akta Ibu Kota Persekutuan 1960, dengan tujuan melaksanakan reformasi tadbir urus Kuala Lumpur.
Semalam, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, tiada keperluan untuk pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Menurut Muhamad Akmal, keperluan yang lebih mendesak di ibu negara adalah untuk menyelesaikan masalah miskin bandar serta isu perumahan mampu milik, bukannya sekadar memperkenalkan pilihan raya pihak PBT atau pilihan raya Datuk Bandar.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


