SUBANG JAYA: Peningkatan pelabur asing di Malaysia berkemungkinan meningkatkan prospek dalam sektor hartanah pada 2024.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Avaland Bhd Teh Heng Chong berkata, kajian semula kriteria program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) oleh kerajaan pada masa ini boleh meningkatkan sektor itu, terutamanya untuk hartanah berharga melebihi RM1 juta.

"Ia adalah masa yang sesuai untuk berbuat demikian," katanya pada majlis sempena kerjasama pembiayaan hijau Ambank dan Avaland di sini pada Selasa.

Beliau juga berkata pemaju akan mencari kaedah untuk mengekalkan harga dengan cukai perkhidmatan (SST) yang dinaikkan pada lapan peratus tahun depan berbanding enam peratus pada masa ini.

"Ia (harga) akan meningkat secara perlahan-lahan disebabkan kos pembinaan tetapi sebagai pemaju, kita perlu mengendalikannya kerana kos pembinaan telah meningkat selama ini. Kita tidak boleh meletakkan harga yang terlalu mahal di pasaran," tambahnya.

Avaland telah bekerjasama dengan Ambank untuk pakej pembiayaan hijau bernilai RM129.8 juta bagi fasa pertama pembangunan bercampur terbarunya yang terletak di Subang Jaya dikenali sebagai Alora Residences dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM552 juta terdiri daripada 770 unit pangsapuri perkhidmatan dan lapan unit runcit. Ia telah mencapai kadar pembelian sebanyak 56 peratus sejak pelancarannya pada 26 Ogos tahun ini.

Saiz-saiz unit berkeluasan di antara 923 kaki persegi dan 1,457 kaki persegi dengan harga bermula dari RM693,800 seunit.

Projek pembangunan utama bercampur terancang yang dikenali sebagai 2Fifth Avenue mempunyai GDV RM3 bilion yang terdiri daripada pangsapuri perkhidmatan, komponen runcit dan pejabat dan dijadualkan siap secara berperingkat dalam tempoh 10 tahun.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Ambank Group Datuk Sulaiman Tahir berkata kumpulan itu telah meluluskan pembiayaan hijau sebanyak RM1.3 bilion di antara April dan Ogos 2023 daripada RM4 bilion yang disasarkan pada tahun kewangan 2024 (FY24).

Kumpulan itu berada di landasan yang betul untuk mencapai sasarannya, kata Sulaiman.

"Ini menunjukkan komitmen kami untuk menggalakkan kemampanan. Pada FY2023, kami meluluskan pembiayaan hijau sebanyak RM1.9 bilion," katanya.

Sulaiman berkata terdapat keperluan yang mendesak bagi sektor hartanah untuk menerima prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) kerana pembangunan hartanah mempunyai kesan yang besar terhadap perubahan iklim.

Bangunan menyumbang kira-kira satu pertiga daripada pelepasan gas rumah hijau global dan menggunakan kira-kira 40 peratus daripada tenaga dunia, katanya.

-- BERNAMA