KUALA LUMPUR: Kajian separuh penggal bagi rancangan lima tahun Malaysia kali ini perlu dinilai seratus peratus kerana tanggapan ataupun perancangan yang dibuat sebelum COVID-19 sudah tidak boleh lagi dipakai, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Beliau berkata kajian separuh penggal kali ini boleh disifatkan sebagai rancangan yang baharu untuk negara.

Kajian separuh penggal bagi Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) yang bakal dibentangkan di Parlimen pada 11 September ini (Isnin) sebagai sesuatu yang "unik", katanya.

"Negara kini berada dalam RMKe-12 untuk tahun 2021 sehingga 2025 dan kalau sebelum ini kajian separuh penggal (KSP) itu hanyalah untuk menilai prestasi tapi KSP untuk kali ini adalah unik kerana dua perkara.

"Pertama, COVID-19 yang berlaku pada tahun 2020 hingga 2022 telah merubah banyak perkara, justeru ia perlu dinilai seratus peratus kerana tanggapan ataupun perancangan yg dibuat sebelum itu...sekarang sudah tidak boleh diguna pakai.

"Kajian separuh penggal kali ini boleh dikatakan sebagai rancangan yang baharu untuk negara," katanya dalam satu klip video yang dimuat naik dalam Facebook hari ini.

Sebab kedua adalah KSP kali ini bakal dibentangkan di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan di mana Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membentangkan Ekonomi MADANI yang meletakkan dua sasaran iaitu untuk menaikan kadar siling dan lantai.

Menurut Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Seri Ahmad Maslan ketika menjadi tetamu stesen radio Kool FM bulan lepas, menaikkan siling bermaksud usaha menstruktur semula ekonomi supaya negara dapat mengecapi lebih kekayaan.

Manakala definisi menaikkan lantai pula merujuk kepada membawa erti mengutamakan keadilan sosial bagi memastikan kekayaan yang dikecapi dapat dikongsi rakyat secara lebih saksama, katanya.

Ahmad berkata menaikkan siling dan lantai adalah antara sasaran dalam Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam pada itu, Rafizi berkata menaikkan siling adalah untuk memastikan bahawa ekonomi kita diangkat ke arah nilai yang lebih tinggi, maksudnya gaji yang lebih tinggi, kandungan teknologi dan kandungan nilai yang lebih baik dan itu akan meningkatkan prestasi ekonomi negara kita.

"Bagi menaikkan lantai pula, kita mahu pastikan bahawa jika ekonomi Malaysia berkembang dengan lebih pesat dan ada lebih banyak kekayaan yang dihasilkan daripada pertumbuhan ekonomi ini, agihannya itu adalah adil kepada semua," kata Rafizi.

Beliau memberikan contoh di mana beberapa bulan yang lepas kerajaan telah memberikan tumpuan yang lebih kepada golongan rakyat marhaen dan bukannya kepada segelintir golongan kaya sahaja.

"Walaupun tidak gah (mega) berbanding sebelum ini (bukan projek puluhan bilion ringgit) tetapi jumlah wang dan peruntukan itu diagihkan kepada rakyat...contohnya melalui dasar gaji progresif supaya kita dapat merasai limpahan daripada ekonomi itu sampai kepada rakyat terbanyak melalui tangga gaji yang lebih baik".

Rafizi berkata beliau yakin sekiranya perkara ini diteliti dengan baik, ia akan memberikan gambaran yang cukup jelas kepada seluruh rakyat Malaysia.

"Bagi setiap tumpuan yang digariskan di dalam kajian separuh penggal ini kita pastikan bahawa manfaat yang diterima itu dijelaskan kepada rakyat, pihak swasta dan kepada kerajaan," katanya.

Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia-12, 2021-2025 disediakan bagi mengukur pencapaian sasaran bagi tempoh dua tahun pertama serta menghadapi cabaran-cabaran getir yang menjejaskan aspirasi RMKe-12.

Penyediaan KSP RMKe-12 akan merangkumi kajian semula sasaran, strategi, inisiatif, program dan projek pembangunan bagi mencapai matlamat pembangunan serta pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan.

-- BERNAMA