Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan bahawa pihaknya tidak menjalankan sebarang kajian pendapat umum secara formal, seperti yang telah dilaporkan oleh media tempatan mengenai sebuah dapatan hasil undian di Twitter.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan SPRM pada Khamis malam, pihaknya menyatakan bahawa kajian yang dikendalikan menerusi akaun Twitter @SPRMMalaysia adalah satu kesilapan teknikal dan ia hanya satu latihan semata-mata.

Terdahulu, dalam 'undian' pada Rabu tersebut menunjukkan respons majoriti pengguna Twitter yang memilih jawapan 'tidak percaya' terhadap badan bebas itu.

Keputusan menunjukkan daripada 6,210 undian yang diterima, 90 peratus tidak percaya manakala 10 peratus berkata mereka percaya dengan badan itu.


Selain menerima 629 retweet, undian berkenaan turut menerima pelbagai reaksi dan pendapat.

Antaranya, netizen berkata bagaimana badan itu mengendalikan siasatan ke atas syarikat pelaburan strategik negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sedikit sebanyak menjejaskan imej mereka.


Seorang netizen bernama Azrul Abdul Hamid berkata aktiviti rasuah boleh dibanteras jika kerja dibuat dengan iklhas, tanpa belas kasihan.


Ada juga yang mahukan SPRM terus menjadi badan bebas, dan tidak memihak kerajaan mahupun pembangkang.





Dalam perkembangan lain, SPRM akan meneruskan siasatan berhubung isu derma RM2.6 bilion atas nasihat Panel Penilaian Operasi (PPO).

Panel itu juga menasihatkan agar suruhanjaya berkenaan menghantar semula kertas siasatan terhadap SRC International Sdn Bhd kepada Peguam Negara untuk semakan semula.

PPO ialah sebuah badan bebas yang dibentuk kerajaan bagi memantau perjalanan SPRM.