Zakat pendapatan wajib ditunaikan jika cukup nisab, tertakluk kaedah pengiraan

Ustaz Ameer mengingatkan semua individu yang mempunyai sumber pendapatan supaya membuat pengiraan tahunan dengan teliti dan merujuk pihak berkuasa zakat negeri.
KUALA LUMPUR : Zakat pendapatan atau zakat penggajian di Malaysia telah diputuskan sebagai wajib ke atas individu yang bekerja dan memenuhi syarat, selaras dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) sejak 1997.
Menurut Ketua Pegawai Zakat, Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK), Ustaz Ameer Azeezy Tuan Abdullah, kewajipan zakat pendapatan ditentukan berdasarkan jumlah pendapatan tahunan, bukan pendapatan bulanan, yang melebihi paras nisab ditetapkan negeri masing-masing, dianggarkan sekitar RM29,376 hingga RM30,000 setahun.
Beliau memberi contoh, sekiranya seseorang yang memperoleh gaji RM3,000 sebulan, akan menerima pendapatan tahunan sebanyak RM36,000, sekali gus melepasi paras nisab dan tertakluk kepada kewajipan zakat, namun masih diberi ruang untuk membuat penolakan perbelanjaan asas yang dibenarkan.
“Penentuan zakat pendapatan mengambil kira dua kaedah utama. Kaedah pertama ialah pengiraan tanpa tolakan, iaitu jumlah pendapatan tahunan didarab terus dengan kadar 2.5 peratus. Sebagai contoh, pendapatan RM48,000 setahun akan dikenakan zakat sebanyak RM1,200,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan kaedah kedua membenarkan penolakan perbelanjaan asas seperti tanggungan isteri, anak-anak, perbelanjaan kesihatan dan keperluan asas lain, sepertimana konsep tolakan dalam sistem e-filing cukai pendapatan.
“Jika selepas ditolak perbelanjaan asas, baki pendapatan tahunan menjadi kurang daripada nisab, maka zakat tidak diwajibkan. Contohnya, pendapatan RM48,000 ditolak perbelanjaan RM20,000 menjadikan baki RM28,000, yang tidak melepasi nisab,” katanya.
Beliau turut menegaskan kewajipan zakat pendapatan tidak terhad kepada pekerja bergaji tetap, sebaliknya turut melibatkan individu bekerja sendiri, pekerja bebas (freelancer), usahawan, pengasas syarikat serta mereka yang bekerja dari rumah atau secara dalam talian.
“Walaupun pendapatan tidak tetap atau hanya diperoleh pada bulan-bulan tertentu, ia tetap perlu dikira secara keseluruhan dalam tempoh setahun. Sekiranya jumlah pendapatan tahunan melebihi nisab, maka zakat pendapatan wajib ditunaikan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua individu yang mempunyai sumber pendapatan supaya membuat pengiraan tahunan dengan teliti dan merujuk pihak berkuasa zakat negeri bagi memastikan kewajipan zakat dilaksanakan dengan tepat dan berlandaskan ketetapan syarak.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


