SHAH ALAM: Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) bersedia menghadapi saingan tiga penjuru sekiranya UMNO tetap dengan pendirian untuk bergerak secara sendirian pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata ia walaupun Bersatu menyedari bahawa perkara itu mungkin akan sedikit memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH).

Namun, tegas Wan Saiful, Perikatan Nasional (PN) masih berpeluang untuk memenangi PRU15, tetapi memerlukan kerja keras.

“Dari segi pertembungan tiga penjuru yang ruginya adalah agenda perjuangan. Sebab kita bergaduh dengan kawan yang tidak sepatutnya kita bergaduh.

“Sebab saya selalu tekankan, kalau berlaku tiga penjuru kemungkinan yang untung adalah Pakatan Harapan.

“Jadi semua kawan kita ini saya nak ajak semua kita berfikir secara rasional, adakah kita mahu membuka ruang kepada PKR, DAP, kembali mentadbir Putrajaya atau kita hendak bawa satu tawaran politik baharu dengan kita kekal menguasai politik negara dengan tadbir urus yang lebih baik,” katanya dalam sidang media selepas hadir pada sesi Dialog Penerangan Bersatu Malaysia di sini hari ini.

Hadir sama Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh.

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata parti-parti politik Melayu perlu realistik dengan situasi politik semasa.

Justeru, katanya Bersatu, Barisan Nasional (BN) dan Pas perlu mengukuhkan kesatuan ketiga-tiga parti tersebut.

“Kesatuan antara tiga parti Melayu ini satu perkara yang penting yang mana bukan maksud saya satu parti akan kalah, kalau sekiranya undi Melayu berpecah, kemungkinannya dua-dua PN dan BN menghadapi cabaran yang sukar mengekalkan kuasa politiknya.

“Sebab itu bagi saya kalau kita nak masuk pilihan raya, yang lebih baik ada kuasa-kuasa yang sedia ada, parti politik Melayu yang ada boleh dipastikan meneruskan kesatuan ini.

“Jangan nanti kita hanya bercakap kekuatan parti masing-masing tetapi menang sorak tetapi kampung tergadai sebab kita berpecah sesama sendiri,” katanya lagi.

Bagaimanapun, Wan Saiful berkata Bersatu menghormati pandangan UMNO yang disuarakan dalam Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU 2020).

PAU 2020 | Amanat Presiden: Perhimpunan Agung UMNO 2020

BACA: PAU2020: Kita akan bertanding solo atas nama BN dalam PRU15 - Ahmad Zahid

Terdahulu, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan UMNO akan bertanding secara sendirian pada PRU15 akan datang.

Presiden UMNO itu berkata, parti itu akan kekal dengan pendirian yang dibuat selaras keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) iaitu untuk tidak mengadakan kerjasama dengan Bersatu, PKR dan DAP dalam PRU15.