"Kalau pun saya nak mungkir janji, saya cuma jadi Perdana Menteri kerana dapat sokongan daripada parti saya terutamanya dan daripada majoriti ahli Dewan Rakyat."

Itu kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai senario peralihan kuasa yang masih menjadi persoalan banyak pihak.

Sebelum ini, Dr Mahathir sudah beberapa kali berkata akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Membayangkan kemungkinan yang boleh sahaja berlaku, Dr. Mahathir tidak menolak senario yang membayangkan beliau akan 'ditolak' daripada jawatan itu.

"Kalau saya tak mahu letak jawatan tetapi majoriti dalam Dewan Rakyat tolak saya saya jatuh," katanya dalam satu wawancara yang disiarkan di saluran YouTube The Malaya Post.

Tegas Dr Mahathir, pihak yang berkuasa dalam menentukan kedudukan individu sebagai Perdana Menteri ialah anggota Dewan Rakyat.

Pada masa sama, beliau turut membayangkan senario di mana pencalonan seseorang individu sebagai Perdana Menteri boleh ditolak Dewan Rakyat walaupun individu itu dari parti majoriti.

Anwar pada Khamis mengumumkan kesediaan beliau untuk menunggu enam bulan lagi sebelum mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Dr Mahathir.