KUALA LUMPUR: Semua pemimpin dan parti politik serta pertubuhan masyarakat Madani diseru agar mencari pendamaian nasional dalam kontroversi penggunaan Kalimah Allah dan bukannya 'menangguk di air keruh'.

Tegas Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) yang juga Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, semua pihak perlu menerima fakta bahawa penganut Kristian Borneo yang berbahasa Melayu memang mengunakan kalimah Allah dan bukannya untuk memurtadkan umat Islam.

"Penggunaan kalimah Allah oleh umat Kristian sememangnya bukan untuk memurtadkan umat Islam dan oleh itu tidak pernah digusari umat Islam di Wilayah Borneo," jelasnya dalam kenyataan media pada Rabu.

Tambah Madius, penggunaan kalimah Allah dalam kalangan penganut Kristian di Borneo menjadi ternampak sejak 1980an kerana kejayaan Dasar Bahasa Kebangsaan dan juga penghijrahan rakyat Borneo ke Semenanjung kerana kekurangan peluang pekerja dan pendidikan.

"Kami berharap keputusan Kerajaan Persekutuan untuk menarik balik rayuan ini boleh diterima oleh semua pihak dengan dada yang lapang," katanya lagi.

Pada Isnin, kerajaan Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah, Baitullah, Kaabah dan solat dalam penerbitan bahan agama Kristian bagi tujuan pembelajaran.