Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Sultan Abdul Halim Muadzam Shah hari ini bertitah menegaskan bahawa penggunaan kalimah Allah adalah hak eksklusif umat Islam.

Baginda dalam titahnya menyeru rakyat pelbagai kaum agar menghormati hak tersebut bagi menjamin kestabilan serta keharmonian di Malaysia terus terpelihara.

Baginda menyatakan demikian melalui titah Hari Keputeraan Sultan Kedah ke-86 yang disampaikan oleh Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tunku Bendahara Kedah, Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah.

Tuanku Sultan turut menyeru supaya isu-isu agama dan sensitiviti kaum yang boleh menjadi ancaman, perlu dielakkan.

Selain itu baginda juga menggesa agar asas Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Negeri wajib dipatuhi.

"Ketetapan sudah jelas dibuat misalnya oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 1986 bahawa beberapa istilah serta kalimah menjadi hak eksklusif milik umat Islam dan perlu dihormati," titah baginda pada istiadat menyembah tahniah dan pengurniaan darjah serta bintang kebesaran di Istana Anak Bukit, pada Ahad.

Titah baginda lagi, dalam konteks masyarakat majmuk, sensitiviti agama khususnya Islam sebagai agama yang mendasari Persekutuan perlulah dihormati.

Terdahulu, pada awal pagi tadi, telah berlangsung Majlis Keputeraan Ke-86 Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mua'adzam Shah berlangsung penuh istiadat awal pagi tadi.

Istiadat dimulakan dengan tembakan meriam oleh Kor Angkatan Tentera Malaysia disusuli pemeriksaan perbarisan diraja oleh Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tunku Bendahara Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah di hadapan Balai Seni, Alor Setar.

Majlis istiadat itu turut dihadiri Ahli Majlis Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Mahathir.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin mengetuai senarai 114 orang penerima darjah dan bintang kebesaran Kedah .

Muhyiddin merupakan penerima tunggal anugerah Darjah Seri Setia Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah Yang Amat Dihormati (SHMS) yang membawa gelaran Datuk Seri DiRaja.

Turut menerima pengurniaan, Datuk Mukhriz Tun Mahathir yang dianugerahkan Darjah Seri Paduka Mahkota Kedah yang amat dihormati (SPMK) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah menjadi penerima tunggal Darjah Seri Setia DiRaja Kedah Yang Amat Dihormati (SSDK) yang membawa gelaran Datuk Seri.